Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebuah anak syarikat universiti awam disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyelewengan pembelian aset pada 2017.

Menurut sumber, aset yang dibeli di Lembah Klang itu dianggar bernilai lebih RM50 juta termasuk peruntukan tambahan dan ia kini tidak lagi berfungsi atau beroperasi seperti biasa.

“SPRM telah masuk ke pejabat syarikat terbabit pada Khamis lalu untuk mengambil dokumen berkaitan.

“Pembelian aset dan kos beberapa peruntukan tambahan lain yang dianggarkan lebih RM50 juta itu juga didakwa tidak dirujuk dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” kata sumber itu, di sini hari ini.

Sumber tersebut turut mendakwa, beberapa ahli lembaga pengarah syarikat terbabit turut disiasat apabila dikatakan terlibat mengubah suai aset tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit dan menjelaskan pihaknya masih menjalankan siasatan kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16, 17, 18, dan 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

— BERNAMA