Ole Gunnar Solskjaer.

LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui berasa kecewa dengan pasukannya yang gagal mengutip tiga mata penuh pada pertemuan bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Menurut pengurus dari Norway ini, United sepatutnya dapat meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut kerana prestasi mereka lebih baik dari kelab Utara London itu.

Bertandang di gelanggang lawan pada aksi minggu ke-30 selepas liga disambung semula, United tampil dominan sejak awal namun mereka ketinggalan hasil dari gol Steven Bergwijn.

United yang ketinggalan 1-0 mempunyai beberapa peluang keemasan. Bagaimanapun mereka hanya mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-81 hasil penalti Bruno Fernandes.

“Sejujurnyasaya merasa kecewa kerana pemain kelihatan dominan sejak awal perlawanan dan saya merasakan kami layak pulang dengan tiga mata dalam perlawanan tersebut.

“Saya rasa persembahan kita hari ini seharusnya membuat kita boleh mencapai lebih dari satu mata. Saya sama sekali tidak ingat mereka [Tottenham] mengancam kita pada babak kedua, bahkan pada separuh masa pertama mereka juga tidak menimbulkan terlalu banyak ancaman.”

“Mereka hanya menjaringkan gol dan mendapat hanya satu peluang yang baik selepas itu. David De Gea membuat penyelamatan yang bagus atas tandukan Son tetapi yang lain hanya menunggu waktu sebelum kita menjaringkan gol,” katanya di laman web rasmi Manchester United.

Solskjaer berpendapat anak buahnya harus banyak meningkatkan lagi prestasi setelah perlawanan ini dari segi penyudah kerana menurutnya pasukannya gagal memanfaatkan sejumlah peluang keemasan sepanjang perlawanan itu.

“Kami harus lebih tajam. Tetapi jika melihat perlawanan musim lalu bertemu Tottenham,di mana kami menang 1-0, kami dapat merasa bahagia kerana prestasi kami tidak sebagus hari ini.

“Hari ini kami benar-benar menguasai perlawanan dan saya rasa kami menunjukkan bahawa kami dapat bermain melawan pasukan yang bertahan dan mampu mencipta peluang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast