Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Pekerja asing berstatus warga luar terus mendominasi kes Covid-19 di negara ini apabila laporan terbaharu hari ini melibatkan sembilan bukan warganegara disahkan positif.

Sembilan kes daripada jumlah 16 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan dalam negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah angka terbaharu setakat pukul 12 tengah hari ini.

“Dengan 16 kes positif baharu yang direkodkan hari ini, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,572 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 295 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 16 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, daripada 13 kes penularan di dalam negara, sembilan kes adalah bukan warganegara manakala hanya empat kes melibatkan warganegara.

Menurut beliau, perincian kes jangkitan dalam negara membabitkan sembilan orang bukan warganegara adalah dua kes direkodkan di Selangor iaitu kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8,513) dan kesemua mereka adalah daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

Justeru katanya, enam kes pula dilaporkan di Negeri Sembilan iaitu enam kes Kluster Pedas, satu kes di Sabah melibatkan saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara melibatkan empat warganegara Malaysia pula adalah dua kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8,535) dan kedua-dua mereka adalah daripada Kluster Kidurong, Sarawak.

“Satu kes daripada saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap di Melaka, satu kes di Johor iaitu kes saringan pra pembedahan di hospital.

“Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya KKM juga ingin memaklumkan terdapat 10 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,156 kes (95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegas beliau.-MalaysiaGazette