Dimitrov (tengah) disahkan positif Covid-19 selepas jatuh sakit dan menarik diri daripada aksi final menentang Djokovic dalam aksi jelajah Adria, Belgrade.

LONDON – Jaguh tenis ke-19 dunia, Grigor Dimitrov yang beraksi dalam Jelajah Adria baru-baru ini didapati positif Covid-19.

Bintang warga Bulgaria berusia 29 tahun itu menarik diri daripada perlawanan kedua di Zadar, Croatia pada Sabtu lalu kerana kurang sihat selepas tewas kepada Borna Coric dalam aksi pembukaan.

“Maafkan saya atas sebarang salah laku atau sebarang jenayah yang saya lakukan,” keluh pemain itu.

Dia yang menjalani saringan telah didapati positif Covid-19 dan perlawanan akhir bersama bintang nombor satu dunia Djokovic yang dijadualkan berlangsung Ahad telah dibatalkan.

Dimitrov yang beraksi dalam kejohanan pertama di Belgrade minggu lalu menulis dalam Instagram bahawa dia diuji positif pandemik Covid-19.

“Saya telah diuji positif Covid-19 di Monaco. Saya hendak memastikan sesiapa yang merupakan kontak rapat dengan saya sejak beberapa hari lalu supaya segera membuat saringan kendiri dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

“Saya sudah pulang ke rumah dan sedang menjalani pemulihan. Terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan dan tolong duduk di rumah dengan selamat dan sihat,” rayu Dimitrov.

Kejohanan itu telah dianjurkan Djokovic untuk memastikan pemain tenis kembali cergas selepas berehat di rumah tanpa kejohanan akibat pandemik maut itu.-MalaysiaGazette