Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

KOTA BHARU – UMNO Bahagian Tanah Merah digantung oleh kepimpinan tertinggi parti itu tanpa sebarang alasan yang dinyatakan, berkuat kuasa 16 Jun lalu.

Penggantungan bahagian itu diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 16 Jun lalu dan turut mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa sementara bagi bahagian berkenaan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Mohd Almidi Jaafar berkata, pihaknya akur dengan keputusan mesyuarat itu dan dimaklumkan mengenai perkara tersebut pada 17 Jun, iaitu sehari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

“Saya juga dimaklumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan UMNO Bahagian Tanah Merah digantung.

“Beliau juga tidak menyatakan sebab atau alasan UMNO Tanah Merah digantung, cuma saya difahamkan ia mungkin berkait dengan isu-isu lama khususnya selepas berlaku perubahan pimpinan peringkat bahagian,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Jazlan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Untuk rekod, UMNO Bahagian Tanah Merah sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, namun beliau bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – Bernama