Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Gesaan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri S.A.Vigneswaran semalam yang mahu kerajaan menarik balik pindaan kontroversi tahun 1993 dengan mengembalikan semula kuasa Raja-Raja Melayu mendapat sokongan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Presidennya, Aminuddin Yahaya bersetuju
dengan gesaan tersebut kerana memang jelas disaksikan Yang di-Pertuan Agong menjadi ‘penyelamat’ kepada kecamuk politik negara yang berlaku sebelum ini.

Disebabkan itu kata beliau, segala kuasa yang telah dihakis sebelum ini perlu dikembalikan dan dipertingkatkan supaya peranan Raja-Raja dapat diperkasakan lagi.

“Kita tidak tahu apa kerosakan yang politikus-politikus akan lakukan pada masa akan datang yang dapat diselamatkan oleh kuasa Raja-Raja.

“Diharapkan agar semua pihak terutamanya ahli-ahli akademik supaya memperhangatkan lagi untuk membincangkan mengenai hal ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aminuddin berkata, jika benar ahli-ahli politik sayangkan negara, mereka pastinya akan bersama pihak-pihak yang memperjuangkan isu berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada pihak yang menentang kuat agenda mempertingkatkan kuasa Raja-Raja Melayu kerana lontaran idea sama olehnya sebelum ini mengenai perkara tersebut telah tidak disukai hingga ada yang melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan dakwaan kononnya beliau cuba mencabar dan melemahkan sistem demokrasi negara.

Semalam,Vigneswaran ketika berucap dalam majlis perpisahannya sebagai Yang diPertuan Dewan Negara menyeru kerajaan supaya menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pindaan tersebut dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu maka kedaulatan Institusi Diraja harus dikembalikan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kembalikan semula kuasa Raja-Raja Melayu – Vigneswaran

Golongan liberal pro Barat tak suka kuasa YDPA dipertingkatkan