Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Defisit belanjawan negara diunjur meningkat kepada 5.8% hingga 6% dan tahap hutang diunjur mencecah had berkanun 55% pada akhir tahun ini.

Pada masa ini, tahap hutang negara adalah 52%.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, peningkatan itu berikutan pelaksanaan langkah-langkah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM295 bilion yang diperkenalkan untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat serta merangsang ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Namun, katanya, kerajaan komited terhadap disiplin fiskal untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0% dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang.

”Bagi tahap hutang pula, saya pernah menyebut beberapa kali bahawa antara 97% hingga 98% hutang kita adalah hutang dalam negeri dan ini bermakna pendedahan kita terhadap risiko turun naik matawang asing adalah amat terhad.

”Dalam hal ini, Kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal diteruskan,” ujar beliau ketika memberi perkembangan terkini pelaksanaan Prihatin di sini.

Jelas beliau, penganalisis, agensi penarafan dan pelabur memahami Malaysia, seperti juga negara-negara lain akan mencatatkan defisit lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi

Tengku Zafrul turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelbagai sektor swasta dan agensi kerajaan kerana telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada langkah pemulihan ekonomi Malaysia untuk melindungi rakyat, mendorong perniagaan dan menyokong ekonomi.

”Tanpa sokongan padu dari pihak yang berkaitan di dalam ekosistem kewangan dan ekonomi kita, tidak mungkin kita akan dapat membuahkan pakej Prihatin dan Penjana dengan nilai keseluruhan RM295 bilion untuk sama-sama menyelamat dan memulihkan ekonomi negara demi rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette