Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Rayuan bagi memohon rayuan menggabungkan 12 menjadi tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) yang dihadapinya melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2020.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) yang sedang dihadapinya olehnya ketika ini.

Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO hendak menjadikan 12 pertuduhan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi itu digabung menjadi tiga.

Sebelum ini, penghujung tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga bertindak menolak permohonan ini sebelum ianya dibawa ke Mahkamah Rayuan hari ini.

Bagaimanapun, kes itu yang di sebut di hadapan tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk Yaacob Md Sam bersama-sama P Ravintharan dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin sebulat suara menolak rayuan penggabungan itu.

“Kita sebulat suara mendapati tidak ada apa-apa yang salah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini. Jadi kita menolak rayuan ini,” katanya dalam penghakiman ringkas sebentar tadi.

Pada 8 November lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memutuskan 12 pertuduhan yang sedia ada dihadapi oleh Ahmad Zahid sebenarnya jelas dan boleh difahami serta tidak menimbulkan isu prasangka atau prejudis.

“Tambahan pula, Seksyen 153 (2) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) tidak wajibkan pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan,” kata Collin sekaligus menolak permohonan tersebut.

Antara 19 Oktober 2018 hingga 20 Februari 2019, Zahid minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk 47 pertuduhan; 12 untuk CBT, lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram melibatkan dana daripada Yayasan Akalbudi.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jln Duta dan perbicaraan itu sedang berjalan ketika ini.

Difahamkan juga, ada kemungkinan Ahmad Zahid akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan namun akan diberitahu kelak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast