Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som (tengah) dalam sidang media mengenai isu pencerobohan bot nelayan asing di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2020.

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal dilengkapi dengan enam kapal baharu yang canggih dalam usaha memperkasakan operasi penguatkuasaan perairan negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Datuk Zubil Mohd Som berkata, sebanyak tiga buah Kapal Pesisir Pantai (OPV) sedang dibangunkan.

OPV atau kapal induk yang lengkap dengan kemudahan untuk helikopter dan pasukan skuba ini akan berfungsi untuk misi menyelamat dan pemantauan pencerobohan bot nelayan asing.

“Setiap kapal berukuran 83 meter panjang dan kapal pertama akan diterima pada akhir tahun ini manakala yang lain secara berperingkat mulai tahun hadapan,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat Maritim Malaysia pagi tadi.

Tambah beliau, Maritim Malaysia juga akan menerima tiga kapal tambahan untuk menyokong operasinya iaitu kapal misi pelbagai guna (MPMS).

Tiga buah kapal MPMS itu bernilai RM1.05 bilion atau RM390 juta setiap satu.

Kapal-kapal ini akan dilengkapi enam bot pemintas dan kenderaan tanpa pemandu (UAV).

” UAV ini akan digunakan untuk risikan dan pemantauan sebarang pencerobohan nelayan asing atau bot klon di perairan,” ujarnya.

Zubil berkata, pelaburan yang dibuat ke atas kapal-kapal itu berbalai dengan mengambil kira kerugian hasil laut negara sebanyak RM6 bilion setahun.

Kerugian itu tidak termasuk kerosakan pukat nelayan tempatan akibat penggunaan pukat ganding oleh nelayan-nelayan asing yang menceroboh dan menyebabkan kerosakan kepada aset laut negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast