Hassan Rouhani. foto Agensi

TEHRAN – Iran akan terbuka untuk berunding dengan Amerika Syarikat jika Washington meminta maaf kerana menarik balik Perjanjian Nuklear 2015 dan memberi ganti rugi kepada Teheran, kata Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Konfrontasi antara Teheran dan Washington bertambah buruk sejak 2018, ketika Presiden Donald Trump menarik balik perjanjian tersebut dengan kuasa besar dan mengenakan sekatan yang melumpuhkan ekonomi Iran.

Iran telah menolak untuk mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat, yang berusaha memaksa Teheran untuk berunding perjanjian baharu, kecuali Washington menarik semula sekatan ke atas Teheran dan kembali kepada perjanjian semula.

Dalam tweet pada awal bulan Jun, Trump mengulangi gesaan Washington untuk perjanjian baharu dengan Teheran yang bertujuan untuk meletakkan had yang lebih ketat bagi program nuklear Tehran, mengekang program peluru berpandu balistiknya dan mengakhiri perang wilayahnya selama puluhan tahun.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan perbincangan dengan Amerika Syarikat tetapi hanya jika Washington memenuhi kewajibannya berdasarkan perjanjian nuklear, meminta maaf dan memberi pampasan kepada Teheran kerana menarik diri daripada perjanjian 2015,” kata Rouhani dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen.

Tambahnya, Tehran tahu perbincangan yang diusulkan oleh Washington hanyalah sekadar kata-kata dan penipuan.

Sebagai tindakan terhadap tekanan maksimum Washington, Iran secara beransur-ansur telah mengurangkan komitmen nuklearnya, sebuah proses yang dikatakan Tehran dapat dikembalikan jika pihak Eropah yang terlibat dalam perjanjian tersebut melaksanakan janji mereka untuk melindungi ekonomi Iran daripada sekatan oleh Amerika Syarikat.

”Eropah gagal menunaikan janji mereka. Mereka harus melaksanakan tanggungjawab yang dibuat,” kata Rouhani.

Rouhani juga membidas resolusi oleh pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan pada hari Jumaat yang meminta Iran tidak menafikan agensi itu untuk mengakses dua lokasi nuklear dan bekerjasama sepenuhnya dengannya.

“Iran sudah bersiap-sedia bekerjasama dengan IAEA (Badan Tenaga Atom Antarabangsa) berdasarkan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette