KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) hari ini berjanji akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sebagai membalas budi kerajaan kerana membenarkan mereka kembali beroperasi mulai 1 Julai ini.

Presidennya, Zarinah Mohideen berkata, pengumuman yang dibuat hari ini sesungguhnya telah memberi nafas baru kepada semua pengusaha majlis perkahwinan terutama di kalangan peniaga Bumiputera.

Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua ahlinya dalam minggu ini agar semua pengusaha majlis perkahwinan dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul pada majlis perkahwinan yang mereka kendalikan.

“PPMPM bercadang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor majlis perkahwinan sebagai usaha membantu kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran yang semakin meningkat selepas PKP dilaksanakan.

“Apapun kami sangat berterima kasih kepada kerajaan di atas pengumuman ini dan penghargaan juga kami ingin zahirkan kepada Persatuan Kesihatan dan Keselamatan (MiSHA) yang bekerjasama dalam menyediakan S.O.P ini.

“Kami bersedia berkerjasama kerajaan untuk memerangi wabak ini secara konsisten,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan penganjuran majlis sosial seperti kenduri-kendara dan sambutan hari jadi atau ulang tahun perkahwinan dibenarkan bermula 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, majlis tersebut mestilah berlangsung tidak melebihi tempoh lima jam dengan kehadiran tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa bergantung kepada kapasiti lokasi penganjuran.

Pihak penganjur juga perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu mewajibkan peramu saji menyenduk makanan bagi hidangan secara bufet, selain penganjur perlu melakukan saringan kesihatan kepada semua tetamu.

Setiap tetamu perlu diperiksa suhu badan, merekod pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan penjejakan kontak sekiranya berlaku jangkitan dan menjaga jarak sosial masing-masing.

“Penyajian makanan secara bufet masih tidak dibenarkan tetapi kita memberi kelonggaran dengan mewajibkan hidangan disenduk oleh peramu saji.

“Tetamu tidak boleh ambil makanan sendiri tetapi cara terbaik adalah dengan makan secara berhidang,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, tetamu yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke majlis berkenaan.

“Jika pihak penganjur merasakan sukar untuk mematuhi SOP dan mengawal tetamu, maka tidak perlulah mereka teruskan majlis berkenaan kerana pihak penguatkuasaan masih memantau tahap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast