Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

PUTRAJAYA – Bot-bot nelayan Vietnam yang memasuki perairan negara secara haram akan diberi tembakan amaran manakala nelayan-nelayannya akan ditangkap.

Itu amaran yang dibuat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas jumlah bot-bot nelayan negara tersebut semakin banyak membolosi perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, hukuman penjara maksimum setahun dan denda maksimum RM1 juta ke atas tekong dan RM500,000 kepada nelayan langsung tidak berkesan.

Sebaliknya, mereka terus menceroboh perairan negara dan meloloskan hasil laut.

Menurut beliau, walaupun Malaysia sudah menaikkan hukuman denda tetapi berdasarkan rekod tangkapan dan tindakan ke atas nelayan warga asing majoritinya Vietnam, mereka tidak pernah membayar denda dan sanggup dipenjarakan.

Mohd Zubil menambah, Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan telah mencadangkan supaya hukuman sebat dikenakan ke atas nelayan warga asing supaya ia akan menjadi hukuman yang boleh menakutkan mereka.

“Sekiranya hukuman sebatan dikenakan, ia akan memberi impak yang mendalam ke atas fizikal nelayan asing  kerana mengambil masa untuk pulih akibat luka disebat.

“Tindakan ini akan membuatkan mereka tidak berani menceroboh perairan.

“Cadangan ini kita kemukakan dan sudah dibincangkan bersama Jabatan Perikanan di peringkat Jawatankuasa Induk tetapi masih menunggu tindakan lanjut untuk dibawa ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabatnya hari ini.

Beliau memberitahu, sejak tahun 2006 hingga sehari sebelum Ops Naga dilaksanakan Maritim Malaysia telah menahan sebanyak 856 bot nelayan Vietnam.

Manakala ketika Ops Naga dijalankan dari April hingga Disember 2019 seramai 127 nelayan asing telah ditahan.

Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som bercakap pada sidang media mengenai isu pencerobohan bot nelayan asing di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2020.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Maritim Malaysia telah melaksanakan pendekatan pengusiran dan amaran keras sahaja ke atas bot-bot nelayan Vietnam.

Namun pencerobohan oleh nelayan negara itu tetap meningkat sejak 19 Mac hingga 22 Jun lalu apabila 88 kes bot nelayan Vietnam didapati menceroboh di perairan Pantai Timur Semenanjung dan 55 kes telah diusir.

Manakala 17 kes lagi pencerobohan di perairan Sarawak.

Beliau turut mendedahkan selain melakukan pencerobohan, nelayan-nelayan Vietnam turut  menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan bagi mengkaburi penguatkuasa.

Menurutnya, Maritim Malaysia mendapat maklumat sindiket ini didalangi warga Vietnam dan tempatan.

“Disebabkan nelayan Vietnam ini dilihat kebal dan tidak takut dengan tindakan sebelum ini, kita akan kembali melaksanakan arahan tembak dan menangkap mereka untuk proses pendakwaan dan hukuman.

“Tetapi kita mahu cadangan sebatan itu dilaksanakan kerana kesan fizikal dapat menakutkan mereka kerana tempoh luka pulih akibat sebatan mengambil masa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. buatlah hukuman SEBAT!!
    malu lah dgn undang2 negara yg terlalu lembut kepada penjenayah2 asing,
    sepatutnya penjenayah2 asing dikenakan hukuman yg lebih berat berbanding warga tempatan,tak guna jika hanya warga tempatan sahaja yg menurut undang2 negara sedangkan penjenayah2 asing bersenang lenang melakukan jenayah dek kerana tidak takut dengan undang2 negara!!

Comments are closed.