Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Setiap anggota pentadbiran perlu mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan dari tempoh mereka mengangkat sumpah.

Itu keputusan kerajaan yang dicapai dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai rasuah (JKKMAR), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini.

“JKKMAR hari ini turut dimaklumkan mengenai status perisytiharan harta anggota pentadbiran dan ahli Parlimen seperti yang dinyatakan dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran,” ujarnya.

Muhyiddin berkata keputusan lain dicapai adalah untuk memperkukuhkan akauntabiliti dan integriti ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah.

Kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian dan sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.

“Memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swastamelalui beneficiary ownership dan entiti perniagaan mengikut Garis Panduan Tatacara Mencukupi.

“Meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awambagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya.

Bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, Muhyiddin berkata, mesyuarat itu secara prinsipnya bersetuju menjalankan kajian komprehensif bagi menambah baik pematuhan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integrity persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar antirasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan,” katanya.- MalaysiaGazette