Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bercakap di sidang media mengenai pengumuman inisiatif dan pendekatan terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung krisis Covid-19 di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)@Sentral, Kuala Lumpur Sentral. foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Program latihan korporat khusus bagi setiausaha dan pengarah syarikat di bawah Bahagian Akademi Latihan dan Pengurusan Pengetahuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan kembali beroperasi semula pada Julai ini.

Menurut Pengerusi SSM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, ia susulan kepada pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan penganjuran latihan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Lanjutan SOP MKN bertarikh 16 Jun 2020 mengenai penganjuran program latihan yang kini dibenarkan program latihan ini akan bemula,” katanya pada sidang media di menara SSM hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pembangunan Business Continuity Plan (BCP) oleh SSM sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai strategi meneruskan operasi harian suruhanjaya itu.

BCP ujarnya dibangunkan demi memastikan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dan korporat semasa pandemik Covid-19 dan PKP berjalan dengan lancar.

“Melalui BCP yang dirangka operasi perkhidmatan SSM telah diaktifkan secara berperingkat bermula dengan pembukaan semula perkhidmatan pembekalan maklumat korporat melalui portal MyDATA dan e-info pada 28 Mac 2020,” katanya.

Pengaktifan BCP itu, tambah Hasnol, disusuli dengan beberapa perkhidmatan lain secara dalam talian sebelum SSM menggerakkan kembali operasi sepenuhnya. -MalaysiaGazette