Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (dua kanan) beramah mesra bersama sekeluarga Marjones Sulong, 65 (dua kiri) pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kampung Salong, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2020.

CHINI – Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin berkata pihaknya tidak memerlukan jentera yang besar untuk berkempen di sekitar Chini.

Jelas beliau, berkempen secara besar-besaran juga tidak menjamin pengundi untuk mengundi calon berkenaan.

“Walaupun tak ada jentera sama macam calon lain yang ada jentera lebih besar.

“Kalau kita niat untuk benda yang betul insyaallah orang akan undi, tidak perlu jentera yang besar,” katanya selepas melakukan kempen PRK di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Salong sebentar tadi.

Ditanya mengapa tidak berkempen secara agresif, Zainul Hisham berkata, beliau lebih gemar turun padang bagi mendekati dan mengetahui masalah rakyat daripada melakukan kempen secara nyata.

“Saya bukan secara langsung berkempen sangat cuma mendekati rakyat di Chini sebab nak tahu apa masalah mereka. Nak kata kempen saya pun tengok daripada awal tidak kempen sangat cuma kalau saya boleh bantu mereka untuk buat perubahan pilihlah saya.

“Sepanjang tujuh hari saya dan rombongan saya berkempen memang banyak dapat maklum balas mengenai penduduk di sekitar DUN Chini.

“Memang banyak masalah yang dihadapi mereka. Memang kena saya beritahu bahawa inilah masanya tepat saya berkempen menggunakan tagline ‘Suara Rakyat Chini’.

“Daripada maklum balas yang diberi kepada saya mudah-mudahan saya dapat bantu mereka untuk menyuarakan rintihan hati mereka,” katanya.

Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (tengah) beramah mesra bersama penduduk pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JUN 2020.

Sepanjang kempen PRK, Zainul Hashim dilihat hanya membawa beberapa penyokongnya dengan menaiki empat buat kenderaan dan akan berlegar-legar di kawasan Chini untuk tujuan kempen.

Selain berkempen, beliau turut mengedarkan risalah yang menerangkan mengenai dirinya dan misi beliau kepada pengundi Chini.

Ini hari ketujuh kempen PRK DUN Chini diadakan sejak proses penamaan calon selesai pada 20 Jun lalu di Dewan Utama, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.