Parti Warisan Sabah

SANDAKAN – Lebih 1,000 ahli Parti Warisan Sabah termasuk 11 ketua cawangan mengumumkan keluar parti hari ini atas kekesalan mereka terhadap pemimpin parti itu yang dianggap tidak memperdulikan cawangan terbabit selepas menang Pilihan Raya Umum ke 14.

Pengumuman keluar parti itu, yang melibatkan semua cawangan parti di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Airport dan Sibugal, dipimpin oleh ketua cawangan Sejati 1, Ibrahim Yusof.

“Kami telah bertungkus lumus untuk memenangkan Warisan pada PRU-14 lalu, tetapi kami langsung tidak dihargai.

“Antaranya, cawangan kami gagal didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), walaupun telah hantar borang pendaftaran sebelum PRU-14 lagi,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu yang turut dihadiri kesemua 11 ketua cawangan terlibat.

Ibrahim berkata pengumuman keluar parti 11 cawangan itu tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin atasan parti dan tindakan tersebut atas keputusan mereka sendiri.

Katanya, ahli yang keluar parti itu memilih untuk menjadi ahli bebas, sementara Ibrahim memaklumkan telah membuat keputusan untuk menyertai sebuah parti tempatan Sabah iaitu Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

Sementara itu di KOTA BELUD, 12 ahli Warisan dari empat cawangan parti itu mengisytiharkan keluar parti kerana antara lain merasa kecewa dengan fungsi pendaftaran keahlian Warisan yang didakwa tidak sistematik.

Kumpulan diketuai oleh Ir Awang Saleh Makmud yang juga ketua penaja satu daripada cawangan Warisan di Kota Belud itu turut mendakwa hampir 500 ahli parti cawangan berkenaan akan menyusuli langkah mereka untuk keluar parti.

Dalam sidang akhbar ketika mengumumkan perkara itu beliau berkata, kegagalan fungsi pendaftaran Warisan yang tidak sistematik telah menyebabkan ribuan ahli-ahli baharu terpaksa menunggu lebih setahun untuk didaftarkan keahlian mereka.

Beliau berkata mereka mengambil keputusan meninggalkan Warisan juga kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat bahagian Kota Belud dan negeri.

— BERNAMA