Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama RELA sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Felda Chini Timur 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020.

CHINI – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini menjadi saksi kepada penyatuan tiga parti utama dalam Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan Mac lalu.

Beliau yang merupakan pemimpin Bersatu pertama turun berkempen di Chini juga melihat perkembangan itu sebagai isyarat sudah masanya kesemua parti dalam kerajaan bersatu dan meneruskan mentadbir Putrajaya bersama-sama.

“Inilah buat pertama kalinya di man platform satu daripada perjuangan semua rakyat pada hari ini untuk mengambil alih kuasa di mana kami daripada Barisan Nasional, Pas dan Bersatu berada dalam satu pentas.

“PRK Chini yang menjadi saksi bahawa kali ini ADUN Chini kita mesti tentukan bahawa calon BN menang dengan besar majoritinya,” katanya dalam Ceramah Muafakat Demi Kestabilan – Pemimpin Bersama Rakyat di Bandar Dara, Chini sebenar tadi.

Hadir sama adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tambah Hamzah lagi, pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menyatukan parti-parti yang sebelum ini bercakaran sesama sendiri menjadi gabungan dalam Perikatan Nasional.

“Dalam masa tiga bulan terbukti bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Presiden parti saya membuktikan dia mampu untuk menyatukan semua pemimpin daripada dalam kalangan parti yang ada pada hari ini.

“Dia telah membuktikan bahawa kepimpinan daripada BN berkerjasama dengan kita (Bersatu) seperti Datuk Seri Ismail Sabri yang mampu untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan kita.

“Begitu juga pemimpin daripada Pas, mereka dapat bekerjasama dengan kita dan membuktikan bahawa kita mampu untuk memerintah negara ini dengan aman dan sejahtera,” katanya lagi.

Justeru itu, katanya Pakatan Harapan (PH) tidak lagi perlu dikembalikan semula kuasanya melihat kepada apa telah mereka lakukan dalam tempoh 22 bulan memerintah.

“Cukup-cukuplah kepada mereka yang memerintah selama 22 bulan, dan selepas ini kita tidak akan benarkan mereka sekali lagi memerintah Malaysia.

“Kita yang akan menentukan dan kita yang lain menentukan nasib anak bangsa, agama dan negara.

“Inilah perjuangan kita dan kita tunjukkan bahawa perjuangan ini untuk masyarakat, bangsa dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.