Kota Belud dilanda banjir akibat hujan lebat. foto FB

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun malam ini dengan 705 mangsa daripada 220 keluarga masih ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah setakat pukul 8 malam ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 323 mangsa daripada 102 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kota Belud dan 230 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Tenom.

“Selain itu, 59 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di satu PPS di Papar dan 93 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di satu PPS di Beaufort,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu,  kesemua mangsa banjir di satu PPS di Penampang telah dibenarkan pulang ekoran banjir di kawasan berkenaan semakin pulih dan lima lagi PPS di Tenom ditutup pada pukul 4.30 petang tadi, katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, sejumlah 1,209 mangsa daripada 377 keluarga ditempatkan di 15 PPS di beberapa daerah di Sabah.

Sebanyak 11 daerah melibatkan 152 kampung di Sabah masih terjejas akibat hujan lebat Sabtu lepas, namun banjir beransur pulih. – Bernama