KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu MARDEC Berhad membuat kajian menyeluruh untuk mengenal pasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan ia mengalami kerugian dan tidak dapat meneruskan operasi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan yang ditawarkan itu bertujuan memastikan kilang MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan seluruh Terengganu.

Menurutnya, penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu.

Penutupan kilang berkenaan juga akan menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.

”Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebagai agensi di bawah kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan kilang
MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rekod LGM menunjukkan terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu. – MalaysiaGazette