David Luiz yang dianggap pemain bermasalah di bahagian Pertahanan Arsenal perlu dibuang sebagai proses pemulihan kelab hadapi musim 2020.

LONDON – Arsenal dinasihatkan supaya membuang separuh daripada pemain the Gunners untuk membangunkan semula pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.

David Luiz dan Mesut Ozil disifatkan sebagai dua pemain bermasalah yang perlu dicampak terlebih dahulu dalam usaha membaiki kelab tersebut.

Arsenal yang di bawah bimbingan Mikel Arteta telah kalah dalam dua pertemuan berturut-turut ketika bertemu Manchester City dan Brighton, selepas berehat selama tiga bulan akibat Covid-19.

Bagaimanapun skuad Arteta bangkit dengan kemenangan ke atas Southampton dalam liga dan mara ke separuh akhir Piala FA Emirates selepas mengalahkan Sheffield United 2-1 pada Ahad lalu.

Kelab Utara London itu kini berdepan kekangan pelaburan untuk merekrut pemain baharu pada akhir musim ini disebabkan pandemik Covid-19.

Kini wujud kemungkinan untuk Arsenal menjual pemain yang ada bagi mendapatkan pemain baharu yang lebih berbakat.

Bekas pemain Arsenal, Bentley percaya Ozil dan Luiz antara beberapa pemain the Gunners yang harus dipecat segera.

Sekiranya dua pemain liabiliti itu boleh dicampak keluar, wang yang ada boleh dimanfaatkan untuk pemain atau bakat baharu supaya lebih kuat untuk bersaing gelaran EPL musim 2020/21.

“Saya tak pasti apa perancangan Lembaga Pengarah Arsenal sebab Arsenal kini dalam keadaan wajib melepaskan hampir separuh pemain dalam pasukan.

“Ia akan membuka ruang untuk kemasukan pemain baharu sebagai usaha memperkukuhkan pasukan dengan bakat muda dan berbisa,” katanya.

Kritikan itu hadir selepas Arsenal mengumumkan penyambungan kontrak Luiz selama setahun pada minggu lalu.

Bentley kecewa dengan keputusan Arsenal yang masih mahu menyimpan Luiz untuk semusim lagi.

“Saya tidak faham kenapa dia (Luiz) ditawarkan kontrak baharu,” katanya.-MalaysiaGazette