J Solomon

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencabar Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk membuktikan dakwaan mereka banyak perniagaan akan gulung tikar atau jatuh bankrap jika gaji bulanan wajar di bandar-bandar besar ditetapkan pada RM2,700.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, pihaknya amat sukar untuk menerima dakwaan tersebut kerana selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan dan bertahun-tahun menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mantap, masih ada majikan Malaysia masih
mendakwa akan jatuh bankrap jika membayar gaji yang memaparkan keadaan sebenar kos.

Gaji sebanyak RM2,700 itu dicadangkan oleh MTUC mengambil kira kos sara hidup di kawasan-kawasan bandar besar.

Oleh itu, MTUC mencabar MEF untuk membuktikan dakwaan tidak berasas ini dengan mengemukakan fakta dan angka atau mengakui bahawa ianya tidak lebih daripada satu lagi dakwaan palsu bagi mengetepikan hak yang sepatutnya dinikmati pekerja bergaji rendah ini.

Solomon berkata, cadangan yang dibuat oleh MTUC itu berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 yang menyatakan pekerja bergaji rendah sukar menjalani kehidupan minimum.

”Perlu diingat bahawa MTUC telah menggesa supaya pekerja Malaysia dibayar gaji wajar ini bagi membantu kerajaan mencapai sasaran supaya rakyat tempatan mengambil alih tugas yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.

”Ini termasuk kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) dalam bidang pembinaan, perkilangan dan industri perkhidmatan di bandar besar, yang mana gaji minimum sebanyak RM1,100 hingga RM1,200 sebulan adalah jauh daripada mencukupi atau setimpal,” tegasnya.

Justeru, beliau berkata, pekerja Malaysia tidak harus diminta mengambil pekerjaan ini selagi tidak ditawarkan gaji  serta faedah yang membolehkan mereka mampu mengharungi kos sara hidup yang tinggi.

Ini kerana, tindakan berterusan menafikan hak pekerja di bandar besar mendapat gaji bulanan RM2,700, hanya membuktikan kerajaan dan majikan tidak ikhlas untuk menggantikan pekerja asing dengan rakyat tempatan.

Sehubungan itu, katanya, MTUC membantah sebarang tindakan oleh ahli politik dan majikan untuk memaksa serta mengeksploitasi pekerja tempatan mengambil alih kerja 3D daripada warga asing tanpa melakukan sebarang usaha memadai bagi melaksanakan gaji lebih baik supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang meningkat di bandar-bandar besar terbabit.

Katanya, para majikan dan MEF amnya telah berkeras menafikan kenaikan gaji dan upah yang wajar sejak bertahun lamanya, demi melindungi keuntungan besar masing-masing.

Malah pandemik Covid-19 turut dijadikan alasan oleh majikan untuk memberhentikan pekerja, memotong gaji secara sewenang-wenangnya atau memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji.

Menurut Solomon, MTUC mengesan tindakan majikan tertentu yang menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk menindas kesatuan dan memberhentikan pegawai kesatuan yang sebaliknya hanya bertindak mempertahankan hak ahli mereka.

”Mentaliti majikan yang lebih mementingkan diri sendiri ini semakin buruk saban tahun dan diperkukuhkan lagi oleh dasar kerajaan yang mesra perniagaan namun sebaliknya hanya menjejaskan pekerja.

”Oleh itu jika kerajaan terus terpedaya dengan alasan remeh oleh majikan tidak bertanggungjawab yang menafikan hak pekerja mendapat gaji sewajarnya, Putrajaya sepatutnya memperkenalkan dasar-dasar sosial yang efektif bagi membantu kumpulan pekerja ini,” ujarnya sambil meminta Majlis Perlindungan Sosial merangka mekanisme yang sewajarnya bagi mengemukakan 'tambahan' sara hidup bulanan sebagai jaringan keselamatan sosial untuk membolehkan pekerja di bandar-bandar besar mendapat gaji bulanan sebanyak RM2,700.

Tegas beliau, kos skim ini perlu dikongsi bersama kerajaan dan majikan, terutamanya pihak berkepentingan utama ekonomi yang mendapat insentif dalam bentuk potongan cukai.

”Kita menggesa MySPC untuk menerajui usaha ini atau terus melihat majoriti pekerja Malaysia kekal dihimpit kesukaran serta dibebani dengan hutang isi rumah.

”Malah, harapan kerajaan untuk menarik mereka mengambil alih kerja yang ditinggalkan oleh warga asing juga akan buntu,” ujarnya yang turut membantah dakwaan Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan yang mendakwa pekerja tempatan tidak mempunyai sikap sesuai untuk mengisi kerja yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.

Majikan tidak boleh mengeksploitasi pekerja Malaysia untuk bekerja selama 12 jam sehari sebagaimana nasib pekerja asing yang selama ini dieksploitasi tanpa peri kemanusiaan.

”Shamsuddin hanya mengetengahkan pandangan sebelah pihak yang tidak berasas bagi memberi gambaran buruk mengenai pekerja Malaysia supaya majikan dapat mewajarkan tindakan menggaji pekerja asing pada kadar gaji yang amat rendah.

”Terdapat banyak bukti mencukupi dalam pelbagai industri yang menunjukkan pekerja tempatan ini adalah gigih, rajin dan berdedikasi serta sanggup melakukan yang terbaik walaupun dibayar gaji tidak setimpal oleh majikan masing-masing,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast