Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR – Semua pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing mulai 1 Julai 2020.

Kebenaran itu menyusul selepas kerajaan memberi kebenaran untuk menganjurkan mesyuarat, seminar, bengkel dan diikuti syarikat, koperasi, persatuan dan organisasi untuk menganjurkan mesyuarat agung.

Bagaimanapun, jumlah ahli mesyuarat hendaklah tidak melebihi 250 orang dengan mengambil kira kapasiti ruang tempat mesyuarat dan mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Kementerian Belia dan Sukan mengingatkan pertubuhan belia hendaklah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuatkuasakan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nasihat Menteri Belia dan Sukan (KBS), mematuhi prosedur operasi standard Pelaksanaan Majlis Kerajaan dan Swasta yang telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mengambil maklum aktiviti- aktiviti yang dilarang. – MalaysiaGazette