Antara ikan laga liar spesis Betta Smaradigna yang dipamerkan di program Pelancaran Kerjasama Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia dengan Persatuan Ikan Laga Liar Malaysia di Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 01 JULY 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggalakkan belia menyertai ternakan ikan laga kerana ia dilihat mampu memberi pulangan sehingga ribuan ringgit.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya melihat ia sebagai satu industri baharu yang wajar untuk dipromosikan secara besar-besaran.

Bagi tujuan itu, Jabatan Perikanan telah mengemukan cadangan bagi pembangunan pelaksanaan projek Quick Win yang dikenalpasti boleh membantu penternak belia di bawah Projek Akua Bijou (ikan laga) di beberapa kawasan penternakan sedia ada dan yang baru memulakan penternakan ikan laga.

“Pemilihan ternakan ikan laga ini adalah berdasarkan kepada modal permulaan yang rendah, tempoh ternakan yang singkat, ternakan ikan yang mudah serta pasaran yang luas dan bernilai tinggi.

“Selain itu, objektifnya adalah untuk membangunkan Betta Village bagi membantu belia muda dalam menjana pendapatan dan memberikan peluang perniagaan dan melaksanakan projek secara berpusat dengan pembangunan kluster ikan laga,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melihat ikan laga liar yang dipamerkan selepas merasmikan program Pelancaran Kerjasama Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia dengan Persatuan Ikan Laga Liar Malaysia di Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran Kerjasama Strategik Jabatan Perikanan Dengan Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar Malaysia di kementeriannya hari ini.

Menurut Ronald lagi, industri ikan hiasan merupakan salah satu industri yang penting di mana seramai 563 orang pengusaha dan 1290 orang pekerja terlibat dalam industeri berkenaan.

Katanya, pada tahun 2018, Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 325 juta ekor ikan hiasan dan 117 juta untuk tumbuhan akuatik yang bernilai RM370 juta.

Ini katanya, termasuk ikan hiasan daripada kumpulan Anabantids yang merangkumi ikan laga iaitu sebanyak 19.7 juta ekor bernilai RM24.1 juta.

Tambah beliau, pada masa ini sama ada golongan muda tanpa mengira bangsa berminat untuk memelihara dan menjadikan ternakan ikan laga sebagai satu perniagaan.

“Keunikan warna dan bentuk ekor yang pelbagai dan menarik menjadikan ikan ini terkenal sebagai ikan hiasan. Permintaan yang tinggi bukan sahaja dari spesis Betta Splenders malahan juga dari pelbagai jenis ikan beta asli,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan mempopularkan ikan laga liar ia akan menarik minat peminat tempatan dan luar negara terhadap spesis ikan laga liar tempatan.

Jelas beliau, ia bukan sahaja dapat mengurangkan import ikan-ikan tersebut malah dapat membuka pasaran ikan laga di malaysia ke pasaran dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast