Nasi ambeng Kak Ayu menggamit rasa.

Marhaba… Baru-baru ini Che Pah berkunjung ke rumah seorang tukang masak handal di Muar bernama Kak Ayu. Tujuannya untuk mengambil bubur lambuk serta nasi ambeng yang telah Che Pah tempah lebih awal.

Sejurus selepas memberi salam, Che Pah terus melangkah masuk menghala ke ruang dapur rumah Kak Ayu.

Sambil menjawab salam, Che Pah lihat tangan Kak Ayu ligat membungkus nasi ambeng untuk dihantar ke warung berdekatan.

Ralit Che Pah melihat Kak Ayu menuang nasi, mee goreng, sambal jawa, serunding kelapa, rendang ayam dan ikan kering ke dalam nasi ambeng. Nasi ambeng ini kemudiannya dibungkus menggunakan daun pisang.

Sambil membungkus mulut kami berdua macam bertih mula membawang. Pelbagai cerita keluar. Ada saja yang nak dikupas.

Maklum, Che Pah dan Kak Ayu sudah mesra benar. Che Pah suka air tangan Kak Ayu. Orang Johor kalau hendak makan semua mesti kena berasa. Kalau tidak panjang bibir dijuihnya nanti.

Maka yang sudah berjodoh atau hendak mencari pasangan Bangsa Johor kena berhati hati. Selera orang Johor ini tinggi sikit.

Akan tetapi bukan itu yang hendak Che Pah perkatakan. Che Pah mahu kupas perihal kepelbagaian makanan yang menjadi identiti Bangsa Johor serta betapa mewahnya bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Uniknya Negeri Johor ini ialah kerana ia dihuni oleh pelbagai bangsa. Orang Melayunya saja boleh dipecahkan kepada beberapa asal keturunan.

Ada kaum Jawa, Banjar dan Bugis. Ada yang berketurunan Arab dan India Muslim atau lebih mesra dikenali sebagai Malbari selain Cina, India dan Sikh.

Johor meriah dengan pelbagai rencam menu yang sangat menarik. Ibarat kata, kalau awak tercampak di Muar contohnya pasti tak kelapa ran.

Nasi ambeng contohnya yang dibuat oleh Kak Ayu ini. Ini resipi khas orang Jawa. Biasa nasi ambeng ini dihidang didalam dulang kala kenduri.

Ia dimakan untuk empat orang. Selalunya mereka akan makan sedikit selesai tahlil dan selebihnya akan dibawa balik ke rumah.

Bagi Che Pah, nasi ambeng sejenis pemakanan lengkap. Ada nasi sebagai sumber karbohidrat. Sayur sebagai sumber serat serta ayam untuk sumber protein. Cerdik sungguh orang dulu mencipta resipi.

Kalau ke Johor Baharu pula Che Pah pasti akan singgah ke Cafe D’Sarang yang terletak di Jalan Dhobi.

Che Pah paling suka burasak yang dihidangkan di kafe ini. Burasak ini sebenarnya nasi bersantan yang dibungkus dengan daun pisang seperti lepat. Ia kemudiannya dikukus sebelum dimakan.

Burasak

Ia digandingkan pula dengan rendang daging atau ayam. Burasak adalah makanan khas orang Bugis. Selalu dimakan pada hari raya atau majlis tertentu.

Jika mahu makanan lebih ringan, Che Pah gemar makan kacang pol (sebutan Arabnya ialah ful) yang dinikmati bersama roti bantal.

Kacang pol pula adalah makanan khas masyarakat berketurunan Arab. Kacang pol ini akan dimasak menggunakan minyak sapi, ditaburkan daun bawang, hirisan bawang,perahan air limau kasturi, lada hijau dan sebiji telur.

Jika awak datang ke bandar Muar, jemput singgah ke Medan Bentayan yang terletak bersebelahan perhentian bas ekspres. Di situ ada sebuah gerai yang menjual kacang pol.

Asam pedas pula jangan cerita lagi. Biasanya pada waktu makan tengahari, Che Pah akan menikmati asam pedas air tangan Mak Ina di Warung Ena yang terletak di Jalan Khalidi.

Sebelah petangnya pula Che Pah akan pergi ke Parit Tarom iaitu jalan menuju ke Parit Jawa. Isa Adam Pedas jadi pilihan Che Pah.

Paling Che Pah suka ialah ikan goreng cencaru yang digoreng panas panas. Kena pula diganding dengan asam pedas yang baru diangkat dari dapur, nasi panas dan sambal belacan.

Cerita pun tak gunalah. Nikmatnya Allah saja yang tahu. Tersandar jawapnya lepas makan.

Begitulah meriahnya menu makanan di negeri kelahiran Che Pah ini. Che Pah sayang negeri Johor. Che Pah cintai bumi Muar. Che Pah kasih dengan negara kita Malaysia.

Malaysia ini bumi sangat bertuah. Alhamdulillah setakat ini kita tidak pernah lagi dengar orang mati kebuluran di negara kita.
.
Rezeki kita melimpah ruah. Makanan sentiasa ada. Tidak pernah putus. Selama PKP kita tidak pernah dengar orang mati tak makan walaupun tiga bulan kita berehat di rumah dan tidak berkerja.

Bantuan makanan datang berjujai jujai. Agensi kerajaan dan NGO’s semua turun padang untuk memberi bantuan makanan semasa PKP.

Habis semua ceruk kampung diredah. Sampaikan Che Pah dengar dari seorang kawan malam semalam, ketua kampung di kampungnya buntu untuk mencari isi rumah yang perlu diberi kan sumbangan. Ini kerana hampir semua isi rumah sudah terima bantuan.

Che Pah pun dapat bantuan dari Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abd. Rahman. Sampai sekarang bantuan tersebut belum habis Che Pah gunakan. Yalah, Che Pah ini duduk seorang. Lambatlah habisnya.

Tuanku Sultan Che Pah, Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar juga seorang Sultan yang sangat prihatin.

Bulan Ramadhan kali ini Tuanku tidak berpeluang mencemar duli bertemu rakyat di Pasar Ramadhan di semua daerah di negeri Johor seperti kebiasaannya.

Maka Tuanku mengambil inisiatif memberi bantuan berupa barangan dapur serta bubur lambuk kepada rakyat jelata. Tidak kira kaum dan agama. Ini cara Tuanku mendekati rakyat.

Kita semua wajib mensyukuri nikmat ini. Usah mengeluh. Bumi kita ini bumi yang dirahmati. Apa sahaja boleh jadi duit.

Sepatah kata seorang warganegara Indonesia yang juga merupakan tukang urut tetap Che Pah, di bumi Malaysia ini sampah pun boleh jadi duit.

Jadi kita tak boleh beralasan lagi. Ayuh bergerak. Ambil nasihat Tun Dr. Mahathir yang menggesa kita agar kuatkan usaha.

Sandarkan segala keperluan yang kita ingini dengan memanjatkan doa kepada Allah Yang Satu.

Bukankah Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendidik kita agar terus berdoa sebagaimana yang telah beliau buat semasa sidang media pertama Covid 19 beliau tiga bulan lalu.

Beliau dalam sidang akhbarnya telah mengajak kita bersama sama mengaminkan doa yang dibaca. Pertama kali kita rasa seorang Perdana Menteri membaca doa buat kita semua.

Syukur, syukur dan syukur selalu. Kita telah ditakdirkan Ilahi lahir dalam sebuah negara dirahmatiNya.

Buang jauh jauh ketidakpuasan hati. Fokus kepada kerahmatan yang telah dikurniakan Yang Maha Kuasa. Syukuri ia selagi ada. – MalaysiaGazette