Wakil penduduk Estana Court B (Casamas), Muhammad Amal Abu Bakar (tengah) bersama penduduk yang lain melihat jalan yang ditutup sempadan tanah Kampung Pasir/ Akses Jalan Haji Moktar/ Jalan Haji Zam Zam di Hulu Kelang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Penduduk kondominium Estana Court B di Ampang hari ini menuntut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak segera menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit susulan penutupan laluan sempadan Kampung Pasir yang sebelum ini menjadi akses laluan keluar masuk.

Wakil Penduduk Muhammad Amal Abu Bakar berkata, tindakan MPAJ itu seolah-olah 60 keluarga yang menduduki kondominium berkenaan tidak ada hak untuk akses ke kediaman mereka.

Beliau berkata, MPAJ menutup laluan itu selepas timbul rasa tidak puas hati penduduk Kampung Pasir.

Jelasnya, penutupan itu menyebabkan laluan yang digunakan untuk keluar masuk di Jalan Haji Mokhtar dan Jalan Haji Zam Zam tidak lagi boleh ditembusi.

Timbul masalah lagi apabila laluan lencongan yang diberikan khas kepada penduduk kondominium itu tidak strategik dan mengundang beberapa risiko khususnya kesukaran untuk dijejaki.

“MPAJ masih lagi tidak memasang tanda arah masuk ke simpang Estana Court B (Casamas) menerusi jalan ramp dari arah simpang Taman Ukay Bistari dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) walaupun sebelum ini telah bersetuju.

Muhammad Amal Abu Bakar

“Waze hanya tunjuk jalan ke sini menerusi Jalan Haji Mokhtar dan Jalan Zam Zam menembusi kondominium tersebut. Ikut Taman Ukay Bistari memang hanya kami sahaja yang tahu. Kalau berlaku kebakaran bagaimana pihak bomba, ambulans tahu ke masuk ke jalan sini,” katanya ketika sidang media.

Katanya lagi, keadaan laluan tersebut juga gelap gelita dan berbahaya pada waktu malam.

“Hanya tiga lampu jalan yang hidup di laluan ramp yang diselenggara oleh MPAJ. Hal ini menimbulkan rasa tidak selamat kepada penduduk kondominium untuk menggunakan laluan itu pada waktu malam apatah lagi  terdapat beberapa individu tidak dikenali melepak di kawasan laluan itu,” tambah beliau.

Muhammad menambah, laluan keluar masuk kenderaan dari kondominium tersebut juga semakin sempit apabila penduduk rumah kondominium bersebelahan meletakkan kenderaan mereka di situ.

Meskipun penutupan tanah sempadan yang didakwanya dibuat secara mengejut tanpa memaklumkan penduduk kondominium, namun ianya tidak akan menjadi isu jika MPAJ dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak menyediakan laluan yang kondusif.

” MPAJ dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak sepatutnya mempunyai pelan tindakan sebelum membuat keputusan tutup sempadan kerana akhirnya yang jadi mangsa dan ditindas adalah kami,” kata beliau lagi.

Muhammad berkata, walaupun pihaknya sudah beberapa kali menghubungi MPAJ untuk memohon kerjasama membantu menyelesaikan masalah penduduk Estana Court B, namun sehingga kini tidak ada maklum balas diberikan.

Namun beliau tetap berharap pihak berkuasa berkenaan tampil membantu penduduk kondominium itu dengan segera.

Tegas beliau, penduduk kondominium itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya masalah yang dihadapi mereka gagal diselesaikan.

“Kami juga ada hak, kami bayar cukai, kami beli rumah di sini, kami juga berhak nikmati kualiti hidup yang baik di sini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette