Pengurus Kilang Sawit Maokil – Abdul Rauf Salleh (empat dari kiri) bersama sebahagian pekerja kilang mempamerkan Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, kurang setahun selepas kilang ini dijadikan perintis kepada konsep MPC.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) memperkenalkan projek Konsep Model Perladangan (MPC) untuk ladang dan kilangnya di seluruh negara dalam meneruskan program transformasi syarikat.

Projek MPC ini merupakan inisiatif baharu yang lebih sistematik dalam mengukuh, menyeragam dan mengekalkan kaedah kerja terbaik di dalam amalan perladangan dan perkilangan.

Perlaksanaan projek MPC menetapkan standard baru keseluruhan SOP operasi dan amalan pertanian, pemprosesan dan pembuatan, peningkatan pematuhan kepada polisi Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan & Alam Sekitar, pengoptimuman sumber manusia, penambahbaikan perumahan pekerja serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bermula pada tahun 2019, FGV menjadikan ladang Tembangau 6 di Pahang dan kilang sawit Besout di Perak sebagai salah satu projek perintis diikuti oleh ladang Maokil 07 dan kilang sawit Maokil di Johor untuk dijadikan model ikutan ladang dan kilang lain pada fasa perlaksanaan seterusnya.

FGV berkata, kejayaan konsep MPC yang diterapkan di FGV telah dibuktikan dengan beberapa pensijilan kepada dua kilang dan dua ladang perintis tersebut seperti Pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit (RSPO), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) Perbadanan Produktiviti Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata, salah satu cabaran operasi FGV ialah setiap 197 ladang dan 68 kilangnya berbeza dari segi saiz, kos operasi, fasiliti dan keupayaan tenaga kerja.

Melalui perlaksanaan projek MPC ini, keseragaman optimum dapat dicapai dan hasilnya ialah pertambahan nilai produktiviti dan pengurangan kos.

“Sebagai contoh, kilang sawit Maokil yang telah beroperasi selama 29 tahun telah menunjukkan peningkatan produktiviti selepas perlaksanaan projek MPC ini apabila berjaya memproses kadar perahan minyak sawit mentah sebanyak 20.74 peratus pada tahun 2019 berbanding 19.86 peratus pada 2018,” kata Haris.

Selepas melihat kejayaan di Maokil, katanya, FGV yakin projek MPC akan menjadi pemangkin transformasi syarikat mengikut pelan perniagaan yang telah ditetapkan.

FGV akan meneruskan projek MPC ini secara berperingkat dengan lokasi pelaksanaan berikutnya di kilang getah Palong 8 di Negeri Sembilan, kilang penapisan Delima Oils Products di Johor, kilang sawit Embara Budi dan ladang Sahabat 11 di Sabah, ujar Haris. – MalaysiaGazette