Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan meminta syarikat penerbangan menurunkan harga tiket seperti sebelum ini bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak ada sebab syarikat itu masih mengenakan harga tiket yang tinggi sehingga membebankan rakyat untuk ke destinasi dalam negara.

Beliau menjelaskan, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil maklum tentang isu harga tiket penerbangan yang tinggi.

Katanya, kerajaan telah membenarkan syarikat penerbangan beroperasi dengan jumlah penumpang berkapasiti penuh, maka wajar harga tiket perlu kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP.

Ismail Sabri Yaakob

”Sekarang, kerajaan sudah membenarkan syarikat penerbangan mengambil penumpang dengan kapasiti penuh dan tidak ada alasan lagi untuk mengekalkan harga tiket mahal serta tinggi dalam keadaan sekarang.

“Kita telah minta mereka menyelaraskan harga tiket ke paras normal, khususnya untuk pelajar serta guru sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang akan menyambung semula sesi pengajian,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Pengangkutan juga telah diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian

Menurut Ismail Sabri, sebelum ini syarikat penerbangan menaikkan harga kerana tidak boleh mengambil kapasiti penuh penuh, hanya 60 peratus sahaja sebagai mematuhi SOP Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu,  syarikat-syarikat penerbangan ini diminta memberi harga istimewa kepada pelajar, guru dan penuntut universiti sebab sesi pengajian mereka akan bermula dan mereka perlu balik ke kampus.

Sementara itu, tambahnya, pelajar asing beragama Islam yang tinggal di kampus dibenarkan solat Jumaat di surau atau masjid dalam kawasan universiti berkenaan.

Tetapi mereka tidak dibenarkan sama sekali mengunjungi surau atau masjid di luar kampus untuk solat Jumaat kerana masih terikat dengan peraturan dan SOP KKM serta MKN.

“Setakat ini belum ada kluster baharu kampus. Jadi, mereka boleh solat Jumaat, tetapi dalam surau atau masjid kampus itu. Tidak boleh di surau atau masjid luar kampus,” katanya. – MalaysiaGazette