Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan 77 individu atas kesalahan melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 13 individu direman manakala 64 lagi telah dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti sukan sentuh (15), aktiviti pub atau kelab malam (12), dan aktiviti yang melanggar SOP (50),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PDRM turut membuat 944 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, seramai 1,171 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Qatar, UAE, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia & Filipina. Daripada jumlah itu, 1,164 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala 7 individu dibawa ke hospital.

Dari 10 Jun sehingga 3 Julai 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 10,278 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

Daripada jumlah ini, 10,231 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Empat puluh tujuh individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.- MalaysiaGazette