Gelagat pengunjung melawat 'Sky Deck' selepas Pelancaran Promosi 'We Are Free' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan pelbagai aktiviti ekonomiĀ  dibenarkan beroperasi semula.

Tidak ketinggalan sektor pelancongan turut kembali dengan pelbagai tawaran pakej yang menarik.

Justeru itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyarankan agar rakyat mengambil peluang ini untuk membantu menyemarakkan semula industri pelancongan negara.

Timbalan Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, penggiat industri pelancongan juga perlu berusaha menghasilkan produk yang boleh menarik minat pelanggan.

“Keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negara kita adalah untuk kita kunjungi, terokai dan menikmatinya, seperti muzium, keindahan alam semulajadi dan hasil kraftangan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Promosi We Are Free: Masuk Percuma di Menara Kuala Lumpur.

Promosi yang bermula 1 hingga 31 Julai ini disifatkan Jeffrey sebagai tepat pada masanya susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang membenarkan pelancongan domestik dilakukan bagi penjanaan semula ekonomi negara berikutan tiada lagi sekatan rentas negeri dilaksanakan.

“Keunikan tarikan-tarikan yang ada di Menara KL serta pakej-pakej menarik dan percuma seperti ini dapat memberi peluang dan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk berkunjung ke sini,” tambah beliau.

Meskipun pintu sempadan negara masih belum dibuka semula sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 namun Jeffrey yakin pelancongan domestik mampu menyumbang kepada fasa pemulihan ekonomi negara.

“Ini sekaligus memberi nafas lega kepada rakyat di negara ini, terutamanya penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan yang terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP dan PKP Bersyarat) yang lalu,” jelas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu. – MalaysiaGazette