Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri hadir pada majlis perasmian Projek Infaq Daging Kolaborasi Khaira PPZ dan Mitron Group Sdn Bhd di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak akan melaksanakan solat Jumaat secara dua sesi di masjid dan surat Jumaat di sekitar Wilayah Persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perkara itu tidak berbangkit.

Ini kerana perkara itu telah diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Keputusan solat Jumaat dua sesi mengikut apa yang diputuskan oleh Muzakarah Kebangsaan, kita hanya melihat satu sesi sahaja.

“Maknanya itu lebih bertepatan dengan Mazhab Shafie di samping memikirkan suasana-suasana yang lain.

“Jadi isu solat Jumaat dua sesi ini setakat ini secara masyhurnya atau rasminya kalau di Wilayah Persekutuan kita tidak praktikkan dan kita tetap dengan satu sesi sahaja,” katanya pada sidang media di PPR Kerinchi, Bangsar, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan Malaysia akan mengambil langkah serupa seperti Singapura yang akan melakukan dua sesi solat Jumaat di negara itu bermula 24 Jun lalu.

Majlis Ulama Islam Singapura (MUIS) pada 19 Jun dilaporkan mengumumkan pelaksanaan semula solat Jumaat secara berjemaah di 66 masjid di seluruh Singapura bermula 24 Jun lalu.

Mengehadkan kepada hanya 50 jemaah pada satu-satu masa, MUIS bagaimanapun turut mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat secara dua sesi bagi setiap masjid bagi membolehkan lebih ramai umat Islam mendirikan solat Jumaat.

Dalam pada itu, pihaknya memberikan kebenaran kepada surau Jumaat untuk melaksanakan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun katanya, pihak surau perlu mengemukakan permohonan kepada pejabat JAWI dan Mufti Wilayah Persekutuan untuk pertimbangan selanjutnya.

“Yang itu (surau Jumaat) kita akan buka, Insya-Allah surau yang terpilih saja, tetapi dengan syarat perlu memohon kepada JAWI dan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mereka beri satu pandangan atau fatwa atau arahan,” katanya. – MalaysiaGazette