Nurhafizah Jamalludin

KUALA LUMPUR – Sesi sidang Parlimen Digital yang dipengerusikan Peguam Perlembagaan, Lim Wei Jiet perlu melancarkan pakej rangsangan ekonomi dengan mensasarkan secara khusus golongan muda sebagai satu usul yang dapat dimanfaatkan oleh golongan belia pasca Covid-19.

Setiausaha Penyelaras Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalludin berkata, perwakilan yang mewakili lokaliti masing-masing seharusnya diberi peluang untuk menyuarakan sebarang hujah berkenaan situasi politik yang berlaku di tempat masing-masing agar Ahli Parlimen tidak “tidur” dan segera turun berkhidmat membantu rakyat yang memerlukan.

Katanya, belia perlu lebih proaktif dalam menyuarakan pendapat agar dapat didengar oleh pemimpin-pemimpin atasan dan Parlimen Digital atau lain-lain program terdahulu seperti Parlimen Belia dan Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) adalah satu medium yang berpotensi untuk mengangkat suara belia perlu diteruskan.

“Namun, Wirawati Putra mengecam tindakan pihak polis tempatan dari kerusi Parlimen berkenaan yang telah menghubungi perwakilannya, dengan sekurang-kurangnya lima orang daripada lebih 50 wakil yang bercakap awal hari ini didakwa dihubungi melalui media sosial termasuk di Instagram.

“Tindakan itu sedikit sebanyak menggangu konsentrasi dan merencatkan rancangan itu.

“Parlimen Digital yang dianjurkan oleh tiga organisasi politik belia yang diketuai oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia adalah satu program yang baik untuk melatih belia lebih cakna isu semasa Negara dan secara tidak langsung dapat belajar etika-etika berbahas di Parlimen.

“Bukankah itu satu perkara yang perlu kita terapkan kepada belia-belia dalam melatih generasi ini lebih berjiwa Kenegaraan? katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nurhafizah lagi, golongan belia pastinya kini lebih berminat kepada wadah baharu yang menggunakan teknologi digital sebagai platform untuk bersuara dan disebabkan itu kerajaan perlu memainkan peranan yang sama bagi menarik hati belia untuk sama-sama memperkasakan negara.

Dalam pada itu beliau berkata, Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menyokong program persidangan maya berkenaan dan berharap kerajaan dengan apa jua cara tidak menekan atau mengganggu mana-mana platform anak muda untuk bersuara dalam arena politik.

Tegasnya, ia adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi peluang kepada belia untuk lebih cakna akan isu-isu semasa dalam negara serta memberi ruang mereka berbahas dan menyuarakan pandangan mereka.

Justeru kata beliau, Wirawati Putra sebulat suara menyokong Parlimen Digital dan mencadangkan kerajaan agar tidak menyekat serta memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk bersuara ke arah negara yang lebih baik. – MalaysiaGazette