Dr. Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis menasihatkan orang ramai supaya menyemak dan meneliti terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana ibadah korban di Mekah.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ini kerana setiap tahun berlaku lambakan daging sembelihan korban di sana sehingga Arab Saudi terpaksa menghantar ke negara-negara lain yang memerlukan.

Jika tidak, katanya, daging sembelihan korban itu akan membazir.

”Apabila ada pihak tertentu memaklumkan kepada saya tentang cadangannya untuk membuat sembelihan korban di Mekah sedangkan dia di Malaysia, saya agak tertanya-tanya.

”Banyak persoalan yang timbul di fikiran. Dengan rendah diri, ingin saya mencadangkan elok sesiapa yang terlibat semak dengan teliti,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Mohd Asri turut berkongsi berita Arab News yang melaporkan tentang projek Adahi iaitu pengagihkan sembelihan korban kepada 30 juta penduduk di 27 buah negara oleh Arab Saudi.

Jemaah haji tidak mampu untuk memakan daging korban dan menyebabkan ia ditinggalkan di jalan-jalan hingga mengakibatkan berlaku krisis sanitasi – bau busuk dan mendatangkan penyakit.

Akhirnya, pihak berkuasa akan membakar daging berkenaan.

Ahli Sarjana, Arab Saudi, Saeed Al-Amoudi memberitahu, peningkatan pencemaran ini menyebabkan kerajaan mengambil inisiatif pertama pada tahun 1983 untuk mengelakkan pembaziran tersebut dan membantu orang miskin.

Kerajaan Arab Saudi telah menugaskan Bank Pembangunan Islam (IDB) untuk menguruskan projek itu bersama dengan pihak berkuasa negara itu.

Pada tahun 2000, projek Adahi diwujudkan dengan lebih dari 40,000 pekerja bekerja di pelbagai bidang seperti pengurusan, pengawasan, penyembelihan, penghantaran dan pengedaran.

Setiap tahun, 30,000 kambing, lembu dan unta disembelih untuk dibahagikan kepada 30 juta orang miskin dan pelarian di 27 negara yang berlainan di Asia dan Afrika.

– MalaysiaGazette