Foto hiasan

PUTRAJAYA – Prosedur dan cara kerja pentadbiran kerajaan perlu diteliti semula bagi mempermudah urusan pembangunan semula negara dalam keadaan normal baharu pasca-COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata cara lama yang dilaksanakan sejak sekian lama tidak lagi sesuai dalam situasi pasca-COVID-19 yang memerlukan penjawat awam mengubah cara kerja dalam membekalkan perkhidmatan.

Pada perjumpaan pertamanya dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak menerajui kerajaan pada 1 Mac lepas dan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, beliau berkata lapisan-lapisan dalam membuat keputusan seboleh mungkin perlu dikurangkan dengan memberi kuasa tertentu kepada ketua-ketua agensi dan jabatan untuk membuat keputusan segera.

Katanya Ketua Setiausaha Negara pula boleh menjadi peneraju utama untuk mempermudahkan sekiranya kementerian atau agensi mempunyai perkara yang perlu dirunding supaya ia tidak menjadi isu yang boleh dikenakan tindakan juruaudit negara atau agensi-agensi penguat kuasa.

“Ini satu tindakan yang kita tidak dapat elakkan. Langkah-langkah sebegini adalah sebahagian daripada yang perlu kita fikirkan supaya urusan-urusan untuk memulihkan semula ekonomi negara dapat kita bantu dan selesaikan,” kata Muhyiddin pada perjumpaan itu di Dataran Perdana, Perdana Putra, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata walaupun Malaysia sudah hampir selesai menangani COVID-19 lebih cepat daripada sesetengah negara, namun jangan kerana kerenah birokrasi dan masalah di peringkat pentadbiran, negara yang ketinggalan boleh ke depan daripada Malaysia dalam proses pemulihan.

“Ini tidaklah merupakan satu contoh yang baik kerana kita ambil masa lebih lama untuk bantu semua sektor kembali semula seperti sedia kala.

“Jadi cabaran yang kita hadapi amat besar sekali, bukan sahaja di JPM tetapi di semua peringkat jabatan dan kementerian yang ada termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Memetik laporan Majlis Tindakan Ekonomi, Muhyiddin berkata walaupun industri sepatutnya dapat bergerak dengan pantas selepas sektor ekonomi dibuka semula, namun keadaannya tidak sebegitu berikutan pelbagai isu termasuk masalah kewangan seperti modal pusingan yang tidak mencukupi.

“Maka peranan kita sebagai penjawat awam yang tentu ada kaitan dengan mereka, baik membekal perkhidmatan secara langsung atau terlibat dari segi memberi lesen, agensi yang menguruskan ujian-ujian tertentu atau membuat keputusan kepada permohonan mereka, maka tentulah tugas kita lebih mencabar lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional mendukung segala prinsip yang telah diperjuangkan selama ini iaitu mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bersih dan berintegriti.

Bertegas tidak akan berkompromi dalam soal itu, perdana menteri berkata Pelan Antirasuah Nasional yang telah dipersetujui dalam pentadbiran terdahulu turut akan diteruskan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Kita mahu menentukan pentadbiran kerajaan berjalan mengikut ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang), atas landasan undang-undang dan menentukan segala perkara yang kita laksanakan tidak dilihat sebagai menyalahgunakan kuasa kita,” katanya.

Muhyiddin turut menekankan bahawa urusan pentadbiran kerajaan perlu dibuat secara teratur dan betul terutama dalam urusan kewangan negara agar pembaziran tidak berlaku.

Mengenai perbelanjaan kerajaan, katanya hampir 45 peratus hingga 50 peratus peruntukan pembangunan sudah mula dibelanjakan selepas sedikit terganggu ketika PKP, namun masih banyak yang perlu dilaksanakan sebelum akhir tahun.

“Tentulah yang saya harapkan kerjasama yang rapat antara kita untuk bekerja bersungguh-sungguh … sekiranya ada isu dan masalah tertentu harus kita ke depan untuk berbincang dengan semua pihak, ketua jabatan dan seperti selalu diingatkan jangan bekerja secara silo (sendiri),” katanya.

— BERNAMA