Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menamakan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai calon jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Mereka masing-masing merupakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Parlimen Pengerang.

Dalam wawancara dengan akhbar Cina, Kor Ming berkata, pelantikan jawatan Speaker dan Timbalan Speaker itu dimasukkan sebagai agenda pertama apabila mesyuarat Dewan Rakyat bersambung pada Isnin depan.

Kor Ming bagaimanapun berpendapat bahawa jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Speaker harus dikekalkan supaya beliau boleh meninggalkan tugas itu secara terhormat.

“Kalau nak bubarkan Parlimen pada November, apa gunanya tukar Speaker pada masa ini?” katanya dipetik Sinchew Daily.

Menurutnya, Perdana Menteri tidak memberi alasan apabila mengemukakan usul untuk menukar Speaker.

“Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan. Walaupun kami tidak berani kata Parlimen Malaysia adalah sempurna, tetapi institusi ini telah menerima penilaian yang saksama dan berada di landasan yang betul,” katanya.

Menurut Kor Ming, Mohamad Ariff merupakan Speaker paling rajin dalam sejarah kerana beliau akan tiba di Parlimen pada pukul lapan setiap hari, walaupun persidangan dewan tidak berlangsung.

Kor Ming bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi sama ada usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker akan diluluskan.

“Jangan bimbang, jika Parlimen mahu kami berundur, maka kami tidak akan tinggal di sini walaupun seminit” katanya.

Ujarnya lagi, Muhyiddin tidak perlu meletak jawatan jika usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker tidak diluluskan.

“Mengikut tradisi Westminster, Perdana Menteri hanya perlu meletak jawatan jika belanjawan tidak diluluskan atau apabila usul tidak percaya terhadapnya diluluskan,” katanya.

Kor Ming juga berpendapat bahawa pencalonan Azhar sebagai Speaker bertujuan membolehkan Pengerusi SPR baharu yang menuruti kehendak parti pemerintah dilantik.

Sementara itu, Kor Ming memberitahu, usul undi tidak percaya yang dicadangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri tidak akan didebatkan pada Isnin.

Beliau berkata, usul itu bagaimanapun adalah menepati peraturan mesyuarat dan akan dimasukkan dalam agenda.

Jelasnya, keputusan sama ada ia akan didebatkan bagaimanapun bergantung kepada budi bicara kerajaan dan Kor Ming mencadang soalan mengenai perbincangan usul itu diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, usul undi percaya kepada Perdana Menteri juga dimasukkan dalam agenda mesyuarat, tetapi tidak akan didebatkan pada Isnin. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Nga Kor Ming kata ‘Parlimen Malaysia’ tidak sempurna!. Kenapa beliau dan speaker tidak mereformasikan semasa beliau berkuasa?
    Jawapannya kerana itulah “amat perlu disegerakan” PM8 melaksanakan pertukaran Speaker dan Timbalan sekarang demi memulihkan “kerosakan” sistem kendalian untuk kesempurnaan Parlimen itu.
    Seharusnya Nga Kor Ming memilih jalan terhormat meletak jawatan Timbalan Speaker jika ‘sedar Dan menghormati’ kerajaan semasa walaupun saya tidak berani mengatakan cara beliau dizaman PH bagai rakus seperti tindakan komunis menawan TANAH MELAYU. Berundurlah kamu demi kesempurnaan..

  2. Kenapa perlu lantik azhar jadi speaker, dah xde orang lain yang lebih layak ke. Tolonglah jangan asyik buat benda sama je, pusing2 kot situ juga.

Comments are closed.