KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dilancarkan bagi memastikan krisis kesihatan yang melanda negara akibat pandemik Covid-19 tidak mencetuskan krisis ekonomi.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tindakan pantas yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani impak penularan wabak Covid-19 mendorong beberapa agensi antarabangsa meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara pada tahun depan dalam lingkungan 6.3% hingga  7.5%.

Anggaran pertumbuhan Malaysia pada tahun ini sekitar -3.8% hingga 0.5% oleh pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (-2.0 – 0.50%), IMF (-3.8%) dan Bank Dunia (-3.1%).

”Defisit belanjawan dijangka meningkat ke 5.8% hingga 6% tahun ini disebabkan oleh suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion di bawah Prihatin dan Penjana untuk melindungi nyawa, menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan serta memastikan Malaysia mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk bangkit dengan cepat apabila ekonomi global dibuka semula,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Invest Malaysia 2020.

Menurut beliau, kebanyakan langkah-langkah adalah sementara, yang tidak akan mempunyai implikasi berkekalan ke atas kedudukan kewangan negara dalam jangka masa sederhana.

Beliau turut mengulangi kenaikan defisit belanjawan tidak perlu dibimbangi memandangkan Malaysia telapun membuktikan keupayaannya dalam mengekalkan disiplin fiskal dan menguruskan ekonomi dengan baik.

”Semasa krisis kewangan global (2009) defisit belanjawan Malaysia adalah 6.7% dan negara berjaya menurunkan kadar ini kepada tahap serendah 2.9% pada tahun 2017.

”Saya memberi jaminan kerajaan akan terus mengutamakan disiplin fiskal bagi mengekalkan keutuhan sistemik dan integriti ekonomi, tambahnya sambil memberitahu komitmen kerajaan adalah untuk mengurangkan defisit fiskal ke paras kurang daripada 4% KDNK dalam tempoh tiga hingga empat tahun yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast