Abdul Hamid Bador

PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran kepada individu-individu termasuk ahli politik agar bertangungjawab ketika membuat sebarang kenyataan umum.

Katanya, sesiapa yang merasakan diri mereka diancam mahupun ditindas boleh tampil kepada polis.

“Saya nak tahu siapa dia yang dipanggil polis. Saya juga nak tahu polis mana yang memanggil beliau, setakat ini saya belum dapat lagi. Saya sudah semak, tidak ada pihak saya memanggil mereka.

“Tapi saya mintak kerjasama sesiapa yang buat aduan dialah tampil ke depan, jangan bimbang kita akan ambil tindakan yang seadilnya.

“Ini juga berita untuk saya kononnya polis sudah memanggil mereka ambil kenyataan,” katanya ketika menghadiri pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (BANCI 2020), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan beberapa orang wakil daripada inisiatif Parlimen Digital bahawa pihaknya telah dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya.

Individu berkenaan mendakwa polis ada meminta maklumat peribadi (peserta) dan ingin mengetahui mengenai perjalanan Parlimen Digital.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, persidangan Parlimen Digital tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

“Tidak ada isu jenayah, tetapi saya terkejut kata polis ada memanggil mereka. Tidak ada sesiapa yang panggil.

“Tidak ada tindakan jenayah yang dibuat, saya menghormati kebebasan untuk bersuara. Ini jaminan saya,” katanya lagi.

Parlimen Digital yang diadakan pada Sabtu lalu dianjurkan tiga organisasi politik belia yang diketuai oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia.

Persidangan itu antara lain mengemukakan idea bagi membuktikan sidang parlimen secara maya dapat dilakukan secara langsung.

Langkah itu dibuat selepas persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dipendekkan menjadi satu hari kerana wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.