Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, di sini hari ini.

TAPAH – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Felda yang diumpamakan sebagai “lombong emas” tidak akan memberi manfaat sekiranya tidak “digali” oleh para peneroka.

Justeru, Perdana Menteri yang bersetuju dengan perumpamaan yang diberikan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh itu, mahu para peneroka tanah rancangan tersebut mencari khazanah yang tersimpan di “lombong emas” berkenaan.

“Saya ingin membawa anda merenung seketika tentang harta berharga yang ada di depan mata kita semua. Harta ini adalah Felda. Saya setuju Felda yang boleh diumpamakan sebagai ‘lombong emas’.

“Namun lombong emas ini tidak memberikan apa-apa manfaat jika ia tidak ‘digali’ oleh kita semua untuk mencari khazanah yang tersimpan di dalamnya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, di sini hari ini.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada sambutan berkenaan, Muhyiddin mengajak peneroka supaya bersama-sama berganding bahu meneroka dan mengusahakan khazanah tanah rancangan Felda yang mempunyai bermacam-macam potensi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata Program Pembangunan Peneroka akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda DI seluruh negara, melibatkan hampir 31,000 peneroka dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM1 bilion bagi tempoh empat tahun.

Katanya usaha itu susulan kejayaan projek rintis program tersebut di Felda Bukit Rokan, Negeri Sembilan yang bermula pada November 2019 yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan memberi manfaat langsung kepada lebih 300 peneroka.

Muhyiddin berkata Felda yang memiliki tanah pertanian yang luas, berpotensi besar untuk menjadi peneraju utama sektor pertanian pintar dan pengeluaran makanan di negara ini.

“Saya percaya jika potensi ini dapat dibangunkan sepenuhnya, Felda akan menjadi antara pengeluar makanan utama negara dan mewujudkan jaminan bekalan makanan yang stabil di samping menjadi pengeluar komoditi utama negara.

“Saya juga ingin melihat Felda bangkit sebagai pemangkin dan peneraju industri makanan berskala besar dengan menggerakkan aktiviti perladangan berteraskan pertanian pintar dan aktiviti hiliran yang inovatif,” katanya.- BERNAMA

1 Komen

  1. Kita ada banyak syarikat2 besar yg pakar dlm membangunkan industri pertanian, paling bangsat bila kepakaran tu tak digunakan oleh glc lain dgn semata2 inginkan lapuran tahunan yg biru, (bukan mak kau biru… ) akhirnya jual tanah … ingt pasal TH ni buat rasa nak marah jelah..

Comments are closed.