Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Indeks penanda aras FBM KLCI muncul sebagai indeks berprestasi terbaik di ASEAN bagi separuh pertama tahun ini.

Ia hanya susut sebanyak 5.5% kepada 1,500.97 mata berbanding penurunan sebanyak 19.6% yang dialami oleh FTSE Straits Times dan 15.2% Stock Exchange Thailand alam tempoh tersebut.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, malah FBM KLCI turut mengatasi indeks serantau sepanjang tempoh Covid-19.

Ketika menyampaikan ucapan aluan pada Invest Malaysia 2020 hari ini, Abdul Wahid berkata, indeks penjagaan kesihatan merekodkan keuntungan luar biasa sebanyak 86.9% pada separuh pertama tahun ini selepas pengeluar-pengeluar sarung tangan antarabangsa terus menarik minat para pelabur.

Menurutnya, sektor penjagaan kesihatan mendapat faedah semasa Covid-19 dan kini berada dalam kedudukan kelima dalam kalangan sektor dagangan utama di bursa.

Sektor-sektor lain yang turut mendapat manfaat ialah teknologi, produk pengguna dan perkhidmatan dan tenaga, sekaligus memberi petunjuk bahawa para pelabur menggunakan strategi pandangan hadapan.

“Oleh itu, saya yakin pasaran kewangan kita akan terus menarik pelaburan,” katanya.

Abdul Wahid menambah, pasaran modal Malaysia sudah lama diiktiraf sebagai berpandangan hadapan, diatur dengan baik dan berada pada ranking tinggi dalam perlindungan pelabur.

Pasaran tempatan juga diselaraskan dengan amalan terbaik global dalam tadbir urus korporat yang membawa kepada perlindungan pihak berkepentingan bagi seluruh lapisan sosial, persekitaran dan keuntungan kewangan. – MalaysiaGazette