KUALA LUMPUR – Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah hak parti pembangkang.

Malah Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana tindakan itu juga tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, tidak menjadi kewajipan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk menghadap sultan bagi memohon pembubaran DUN selepas Parlimen dibubarkan.

“Ia sangat mudah kerana negara ada perlembagaan untuk proses pembubaran. Jika Menteri Besar tidak pilih untuk bubar, DUN tidak akan bubar.

“Misalnya Parlimen dibubarkan dan selepas sehari dua Menteri Besar akan mengadap ke istana dan jika tidak mohon bubar, tidak ada salahnya kerana ia tidak wajib.

“Kalau PH tidak bubar DUN kalau ada PRU, ia dibolehkan kerana perlembagaan membenarkan. Ini kerana hak kerajaan negeri untuk tidak menghadap sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Turun Padang di kawasan RoL Fasa 2 di Jalan Bunus dan Jalan Masjid India hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan yang tidak akan membubarkan DUN sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-15.

Keputusan tersebut diambil dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

“Majlis Presiden konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak Covid-19.

“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku PRU tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Negeri yang kini ditabir oleh PH adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tapi kalau ph hendakkan sangat mandat rakyat, baiklah bubarkan parlimen di negeri masing2 waktu pru kan. Kalau tak mereka hanya menipu rakyat lah seperti biasa yang mereka buat.

  2. Baguslah buat PRU dua kali, 1 untuk Parlimen dan 1 untuk Adun Negeri, kos PRU pun bertambah, ahli politik memang seronoklah sebab waktu ini duit-duit banyak masuk dalam poket. Yang tanggung kos adalah SPR. Kalau duit PRU itu digunakan untuk pembangunan Negara lagi bagus, seperti pembinaan Sekolah dan Hospital.

Comments are closed.