KUALA LUMPUR – Siapa sangka sekumpulan artis dalam kalangan kaum India telah berjaya menghasilkan sebuah lagu Melayu berjudul ‘Waspada’ tidak sampai lima hari.

Lagu tersebut dihasilkan bagi menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.

Penulis lirik Waspada, Jegen John Peter yang memberikan bayangan bagaimana lagu terbitan AVLT Production ini dihasilkan berkata: “Ini adalah penghargaan kami kepada kumpulan barisan hadapan yang mana ia disiapkan dalam masa lima hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sememangnya Malaysia sebuah negara yang unik, penuh dengan pelbagai kekayaan budaya, bangsa namun semuanya harmoni di bawah satu bumbung, kerana itu kami artis-artis juga rakan baik berjaya menghasilkan Waspada ini.

“Mungkin kami iaitu, Jesudass Missier yang menghasilkan muzik, saya penulis lirik, vokal pula Vidha KRM bagi suara Melayu, Jesudass bagi Inggeris, Kartikan Vasu untuk Tamil manakala SSP Deneswari pula untuk vokal Cina ini semuanya dalam kalangan artis India.

“Tetapi pada masa yang sama, kita begitu teruja dan menyintai budaya pelbagai bangsa di negara ini, kita hasilkan dalam pelbagai bahasa untuk menunjukan betapa akrabnya kehidupan kita di bumi bertuah ini.

“Tentunya sedikit Bahasa Inggeris, Tamil dan Cina juga diselitkan bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan antara kaum walaupun lagu utamanya adalah dalam Bahasa Melayu. Apa yang lebih menggembirakan kami adalah penerimaan umum terhadap lagu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Jegen penghasilan lagu ini mempunyai keunikan tersendiri kerana semua yang terlibat tidak pertemu bertemu kerana ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

“Penyanyi-penyanyi yang terlibat telah menyahut cabaran dan merakam nyanyian mereka di dalam kereta yang di parkir di rumah masing-masing selama beberapa jam. Semua ini juga dilakukan menggunakan gajet perakam telefon pintar masing-masing.

“Fail-fail itu kemudian dihantar melalui e-mel untuk kompilasi oleh Jayaseelan melalui ‘mixing and mastering’ di Chennai, India,” ujarnya.

Jegen yang merupakan pengasas AVLT Production berkata, beliau telah lama berkecimpung dalam industri seni Tamil.

“Malah produksi saya pernah terlibat dengan penghasilan filem pendek yang juga mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa melalui ‘Acham Vidu Latchiyam Thodu’ sebelum ini.

“Bukan saya sahaja, sebaliknya artis terlibat dengan lagu Waspada ini juga bukanlah calang-calang. Sebagai contoh, Jesudass bukan sahaja mampu menyanyi, sebaliknya seorang rapper dan telah menceburi bidang muzik sejak 10 tahun lalu.

“Penyanyi utama Waspada, Vidhya KRM pula sebelum ini pernah menyanyikan lagu-lagu boleh dianggap hit seperti Sagaa dari filem Atcham Thavir, dan melibatkan diri dalam lagu Dum Dum Dum.

“Bagi penyanyi bahasa Cina untuk lagu Waspada ini, SSP Deneswari pula penyanyi berpengalaman sejak kecil selain anggota kumpulan Sri Sangeetha Priya di Johor.

“Bagi kami, kreativiti serta bakat luar biasa tempatan sebenarnya tidak kurang hebatnya dan pastinya memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi dari semua pihak, kepada semua yang sentiasa menyokong kami, terima kasih tidak terhingga kami ucapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette