AMSTERDAM – Polis Belanda menemui kontena kedap bunyi dilengkapi kerusi klinik gigi yang digunakan penjenayah untuk melakukan penderaan dan soal siasat.

Polis telah menahan enam orang kerana disyaki menculik dan mengambil terbusan, menurut kenyataan polis Belanda seperti dipetik Reuters.

Sebanyak tujuh buah kontena ditemui dalam sebuah gudang pada 22 Jun lalu di bandar Wouwse Plantage yang terletak berhampiran sempadan Belgium. Enam buah kontena digunakan sebagai sel penjara.

“Suspek-suspek menggelar kontena ketujuh sebagai ‘bilik rawatan’, yang mana panggilan tersebut jelas bermakna persediaan untuk mendera,” kata kenyataan itu.

Gari tergantung di siling selain diletakkan di lantai sel itu yang boleh dilihat menerusi siaran video.

Kawasan itu ditemui semasa siasatan dilakukan ke atas seorang lelaki berumur 40 tahun dari The Hague yang disyaki mengedar dadah dan merancang pembunuhan.

Polis dapat merungkai mesej yang dihantar pada aplikasi EncroChat bagi membolehkan mereka mengikuti perbualan antara penjenayah yang bertukar gambar kerusi klinik gigi itu, kata kenyataan tersebut.

Polis turut merampas 24 kilogram dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), pakaian polis, kenderaan yang dicuri dan senjata, menurut kenyataan itu. – Agensi