Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Permohonan rayuan pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancong untuk mendapatkan insentif tunai sedang disemak selepas tarikh tutup 1 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran dijangka dibuat pada pertengahan bulan Julai.

Sehingga 6 Julai lalu, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada 28,962 orang pemandu teksi berjumlah RM17.4 juta buat penerima fasa pertama.

Bagi pemandu pelancong pula, seramai 7,414 pemandu pelancong telah menerima bantuan berjumlah RM4.4 juta.

Manakala, status bagi pemandu bas pelancongan sedang dikemaskini dan akan diumumkan pada hujung bulan Julai 2020.

Beliau berkata demikian ketika memberi perkembangan terkini mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pula, bayaran kumpulan rayuan penerima yang lulus telah dibuat mulai 24
Jun 2020.

Bagi perayu yang lulus tetapi masih belum menerima bayaran, mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke Cawangan BSN seluruh negara sehingga 31 Disember 2020.

Menurut beliau, antara 26 Jun hingga 6 Julai, lebih kurang 30,000 penerima BPN telah menerima bayaran di cawangan-cawangan BSN seluruh negara, menjadikan jumlah penerima BPN kepada 10.245 juta dengan keseluruhan bayaran BPN sebanyak RM10.92 bilion.

Mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS Mikro, setakat 6 Julai, jumlah keseluruhan GKP yang dibayar adalah bernilai lebih kurang RM1.634 billion dan telah memanfaatkan 544,632 PKS Mikro.

Pembayaran kumpulan rayuan GKP bermula minggu lalu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan minggu depan.

Manakala bagi Program Subsidi Upah, sehingga, 6 Julai sebanyak RM7.15bilion telah diluluskan bagi 310,622 majikan yang memanfaatkan lebih 2.48 juta pekerja.

Untuk Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) KWSP pula, katanya, sehingga 6 Julai 2020, sebanyak 37,900 permohonan telah diterima dan daripadanya, 10,528 permohonan telah diluluskan bernilai RM70.4 juta bagi caruman KWSP majikan.

”Kerajaan menekankan bahawa KWSP akan membuat pemantauan rapat untuk memastikan caruman yang distruktur semula akan tetap dibayar pada masa hadapan.

”Tindakan boleh diambil ke atas majikan yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing dari segi caruman untuk tabung persaraan pekerja,” katanya.

Bagi Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia pula, sehingga 6 Julai 2020, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS adalah RM8.7 bilion dan ini memanfaatkan 21,104 PKS.

Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility), Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (Automation & Digitalisation Facility), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (All Economic Sector Facility) dan Kemudahan Agromakanan.

Tengku Zafrul menambah, di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sehingga 6 Julai lalu, sebanyak 8,737 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan bernilai RM296.99 juta.

Untuk skim di bawah TEKUN Nasional pula jumlah permohonan yang diluluskan ialah 25,278 bernilai RM192.98 juta. – MalaysiaGazette