Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Wanita berumur 90 tahun kerugian RMM3,830,000.00 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam apabila dikatakan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Kejadian bermula apabila warga emas berkenaan pada 13 April lalu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan Pejabat Pos Malaysia yang memaklumkan barang yang mengandungi kad pengenalan wanita berkenaan telah dihantar dari Ipoh ke Sabah.

Selepas menafikan bungkusan miliknya, mangsa dikehendaki membuat laporan polis atas talian dengan rakan penyamar yang mendakwa dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak.

“Suspek telah meminta pengadu untuk membuat laporan polis secara atas talian. Setelah semakan dibuat, pengadu kemudian dikatakan terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram dan satu tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara tempatan berumur 72 tahun telah dibuat.

“Pengadu juga diberitahu akan ditangkap dan dikurung atas kesalahan tersebut. Disebabkan takut dan percaya pengadu telah mengikut segala arahan suspek dengan membuat pemindahan wang ke atas tujuh akaun syarikat yang berbeza menggunakan 12 keping cek peribadi milik pengadi dari 20 April hingga 15 Jun lalu,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menerusi kenyataan hari ini.

Selepas wanita berkenaan sedar dirinya ditipu dan membuat laporan polis, tangkapan berjaya dilakukan terhadap tiga pemilik akaun syarikat dan lima individu berumur 30 hingga 43 tahun yang dipercayai terlibat.

“Kesemua saspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaaan. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti penglibatan saspek lain yang masih bebas bagi mengesan dalang utama,” jelasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai berwaspada agar tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau mana-mana wakil agensi lain.

Dalam tangkapan yang berlainan, Nik Ezanee memaklumkan sepasukan polis dari Bukit Aman dan Petaling Jaya yang bekerjasama pada 7 Julai lalu membuat serbuan di beberapa rumah di Tropicana Avenue kerana mengesyaki terdapat aktiviti penipuan pelaburan atas talian di lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis telah berjaya menahan 13 warganegara asing terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 19 hingga 36 tahun. Pihak polis turut menahan seorang lelaki wargangeara tempatan berusia 35 tahun dipercayai turut terlibat dalam sindiket penipuan itu,” katanya.

Hasil pemeriksaan polis merampas sebanyak 31 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 20 buah komputer riba, dua unit router dan dua modem.

Semua suspek ditahan empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selain itu, pasukan polis daerah Petaling Jaya pada 8 Julai lalu juga telah menahan lima lelaki dan dua wanita wargangara asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan judi atas talian.

Ketika pemeriksaan di premis serbuan iaitu dua buah rumah di Kondominium Damansara Foresta, polis merampas sebanyak 18 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan buah komputer riba, 11 keping simkad dan wang tunai RM650.

Siasatan awal mendapati sindiket judi atas talian ini menyasarkan pelanggan dari negara China.

Kesemua saspek yang ditahan remah disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1969/63.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan semua saspek terutama judi atas talian di dalam pentadbiran IPD Petaling Jaya,” ujarnya.-MalaysiaGazette