Adik kepada mendiang Anthony Kevin Morais, Datuk Richard Morais kelihatan sebaik keluar dari mahkamah selepas mendengar keputusan akhir kes pembelaan bunuh abangnya yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Berderai air mata abang sulung kepada mendiang Datuk Anthony Kevin Morais hari ini.

Datuk Richard Morais ketika ditemui pemberita selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam individu selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais, beliau kelihatan lega.

Dalam keadaan beremosi membacakan sebuah kenyataan media yang ditulisnya sendiri, beliau sesekali terketar-ketar dan berlinang airmatanya.

Kata Richard, dirinya seakan-akan histeria dan terluka apabila terpaksa berhadapan dengan situasi di mana dirinya dipanggil untuk mengenalpasti mayat adiknya dalam keadaan begitu tragis.

“Ketika melihat keadaan mayat adik saya, saya tahu itulah hari yang sukar dilupakan sehingga bila-bila dan saya tidak akan jadi menjadi diri saya lagi. Itulah harinya.

“Keadaan tubuh badannya sudah saya tidak kenali lagi.  Pada saya, tidak ada seorang pun yang sepatutnya melalui keadaan seperti itu apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi melibatkan orang yang kita sayangi,” katanya teresak-esak.

Sambung Richard yang bertubuh kurus itu dan mempunyai iras wajah hampir sama dengan mendiang, dirinya bersyukur dengan penghakiman hari ini yang padanya juga telah memberi keadilan buat mendiang.

“Saya mendapat tahu adik saya sebenarnya telah dibunuh dengan terancang oleh seorang kolonel dengan menggunakan lima individu dengan menculik dan membunuhnya. Kesemua mereka juga hadir pada prosiding sebentar tadi.

“Kevin dibunuh kerana telah menjalankan tanggungjawabnya dalam memerangi rasuah, beliau ketika sedang menangani kes rasuah kolonel setelah didapati bersalah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Penghakiman hari ini sebenarnya telah memberikan kelegaan selepas lebih empat tahun menanti dan terus menanti untuk mendapatkan pembelaan.

“Ketika mendengar penghakiman oleh Hakim Datuk Azman Abdullah, seperti saya mendengar suara Kevin sendiri.

“Terima kasih kepada semua, khasnya pasukan pendakwaan yang begitu berdedikasi tinggi dalam mendapatkan pengadilan untuk kami, kepada pihak berwajib lain seperti polis, SPRM dan lain-lain.

“Juga tidak lupa kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mencadangkan nama Kevin diberikan pingat membawa gelaran ‘Datuk’ daripada Sultan Kedah. Juga terima kasih kepada Sultan Perak kerana memberikan pangkat ‘Datuk’ selepas kematian mendiang.

“Terima kasih juga kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah memberikan pengiktirafan Anugerah Anti Rasuah 2020 sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Tali gantung’ untuk 6 individu bunuh Kevin Morais

1 Komen

Comments are closed.