Pengacara Bernama TV, Herleena Pahlavy.

KUALA LUMPUR – Pengacara Bernama TV, Herleena Pahlavy yang menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al-Jazeera sebagai Al-Jahiliah sepatutnya dinobatkan sebagai wirawati kerana mempertahankan maruah Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sikap terpuji Herleena perlu dipertahankan ketika negara dihina Al-Jazeera dan bukannya dikenakan tindakan tatatertib.

“Saya tidak faham kenapa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersungguh-sungguh mahu mengambil tindakan terhadap Herleena Pahlavy kerana menggelarkan Al-Jazeera sebagai ‘Al Jahiliyyah’.

“Sedangkan dokumentari itu (memaparkan maklumat) palsu dan memburukkan imej negara dalam isu menangani wabak pandemik Covid-19 dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sepatutnya Harleena dinobatkan sebagai wirawati negara yang patriotik kerana berani mempertahankan maruah negara tatkala dihina dan diperkotak-katikkan oleh stesen tv antarabangsa tersebut,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebooknya hari ini.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin semalam yang mahu mengambil tindakan ke atas pengacara Bernama Tv itu selepas menggelar Al-Jazeera sebagai Al-Jahiliyah ketika menjadi hos sebuah program bual bicara, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan sikap Saifuddin itu tidak ubah ketika beliau bersama Pakatan Harapan (PH) yang cuba memperkenalkan beberapa dasar yang bertentangan dengan kedaulatan negara.

“Saifuddin tidak seharusnya terbawa-bawa dengan sikap beliau ketika menjadi Menteri Luar zaman PH dahulu.

“Beliau menjadi antara pihak yang bersungguh-sungguh mahu mengusahakan ratifikasi ICERD dan STATUT ROM sehingga membelakangi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kebiasaan orang Kita berani dengan rakyat sendiri tapi tidak dengan orang luar.

Comments are closed.