Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (tengah) bergambar kenangan dengan para pengamal media yang hadir pada Malam Ramah Mesra Media di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf pengamal media sebagai barisan hadapan yang bertugas dalam menyalur maklumat kepada masyarakat ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, media memainkan peranan yang penting kepada masyarakat dalam menyalurkan sumber berita
walaupun terpaksa berdepan dengan risiko.

“Kami di KKM mengikitraf pengorbanan petugas media ini kerana mereka berani mengambil risiko semata-mata mahu menyalurkan berita kepada umum.

“Ketika orang ramai berada di rumah mereka boleh mendapatkan maklumat di hujung jari yang disampaikan oleh petugas media ini dengan pantas dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra media di sini malam tadi.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali menyerahkan hadiah cabutan bertuah kepada jurufoto Malaysia Gazette, Mohd Hazrol Zainal (tengah) pada Malam Ramah Mesra Media di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2020.

Lebih 100 pengamal media diraikan dalam majlis ramah mesra itu yang turut dihadiri oleh pengarang-pengarang kanan agensi media, wartawan dan jurugambar.

Majlis tersebut diadakan sebagai menghargai pengorbanan pengamal media yang sentiasa bekerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang dilakukan oleh pihak KKM.

Pada majlis itu para media turut dihiburkan dengan persembahan muzik oleh kumpulan buskers dari Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette