Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT)selaku penyelaras GRM Mustaffa Kamil Ayub bercakap dengan media ketika sidang media Gabungan NGO Reformis menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 9 di Restoran Pak Amjal, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Gerakan Reformis Malaysia (GRM) yang terdiri daripada gabungan 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini meminta DAP supaya lebih berhati-hati mengemukakan pendirian mereka berkaitan isu melibatkan orang Melayu.

Penyelarasnya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, ia penting supaya sebarang pendapat atau pendirian mereka tidak menyebabkan kaum Melayu yang merupakan majoriti di negara ini merasa terancam kedudukannya.

Namun ditanya sama ada DAP menjadi masalah yang menggugat PKR dan agendanya, beliau berkata, ia sekadar soal persepsi semata-mata.

“Itu sekadar soal persepsi sahaja yang berlegar dalam kalangan rakyat. Jika ada penjelasan betul yang bukan lagi bersandarkan emosi semata-mata, persepsi berkenaan kita boleh ketepikan dengan baik.

“Rakan-rakan bukan Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya kita harapkan lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti semua kaum khususnya Melayu.

“Yang Melayu jaga bukan Melayu dan juga sebaliknya dan kalau berlaku persepsi salah antara mereka ia tidak sihat untuk negara majmuk kita yang mana banyak salah faham dalamkalangan orang Melayu terutama terhadap DAP dan itulah kita kena jelaskan kepada mereka.

“Kita juga menyeru rakan-rakan kita dalam DAP supaya berhati-hati dalam kenyataan dan pendekatan mereka supaya Melayu tidak rasa terancam dengan kedudukan mereka di negara ini,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Mereka berkumpul untuk menyatakan pendirian menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9 seperti yang ditetapkan Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu.

Justeru Mustaffa Kamil berkata, semua pihak perlu saling mengambil berat secara bersama dengan adanya pendekatan reformasi perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan bakal Perdana Menteri Kesembilan yang dipersetujui dan didokong GRM.

“Saya yakin dengan pendekatan Anwar yang inklusif mencakupi semua kaum di Malaysia dan iktiraf bangsa Melayu sebagai bangsa teras membabitkan lebih 60 peratus Islam sebagai agama persekutuan yang hidup aman damai sekian lama.

“Jadi saya harap tidak terungkit sentimen agama dan kaum tetapi kita hormati sesama kita dan iktiraf orang Melayu dan Islam agama rasmi.

“Jangan biarkan Malaysia dan keharmonian kita diganggu mana-mana kelompok parti poltik tertentu untuk keuntungan tertentu sekelompok mereka,” tegasnya.

Kembali diasak apakah Mahathir atau DAP harus dipersalahkan punca PKR bermasalah, Mustafa Kamil menjelaskan, pihaknya memang kesal dengan bebarapa keadaan yang berlaku dan bukan kedudukan mereka untuk menghentam atau menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi.

Menurutnya GRM memainkan peranan dan pendirian sebagai NGO namun kesal dengan apa yang berlaku sehingga kerajaan PH tumbang Februari lalu.

“Imej juga tercalar ekoran tindakan beberapa pemimpin tertentu sehingga kerajaan berusia 22 bulan sudah tiada. Kami yakin ia menjadi pengajaran untuk perjuangan reformasi ini terus dikukuhkan bersama sokongan rakyat yang bijak menilai sikap dan khianatan pemimpin,” tegasnya. – MalaysiaGazette