Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Pengalaman berpuluh tahun dalam pasukan tidak membawa makna jika seseorang pegawai dan anggota polis itu tidak mempunyai integriti, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan.

Menurut Ayob, pengalaman yang dimiliki setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang sangat membantu dalam konteks kepolisan namun ia mesti disertai dengan sikap kejujuran.

Tegasnya, pegawai dan anggota polis boleh bercakap tentang pengalaman yang dimiliki mereka namun ia tidak memberi sebarang kelebihan jika tidak memiliki integriti dalam menjalankan amanah dan kepercayaan yang diberikan.

“Kita (mungkin) pernah jadi OCPD (Ketua Polis Daerah), kita pernah jadi Ketua Polis di beberapa buah negeri…tetapi kalau tiada integriti, ia tidak berguna,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru baru-baru ini.

Disebababkan itu, kata Ayob, beliau rela menjadi ‘tidak popular’ bila mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggotanya yang melakukan penyelewengan.

Malah, katanya, beliau bersedia menjadi bahan kritikan dalam usahanya menjalankan tindakan tersebut.

“Saya dah biasa dikritik, diasak, dihentam kiri dan kanan, hari pertama saya di sini (Johor) lagi saya dah nyatakan yang saya akan serahkan sepenuhnya pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada pegawai dan anggota saya terlibat dalam kes rasuah.

“Jika SPRM tak dapat ambil, saya akan buka kertas siasatan seperti mana saya ambil tindakan terhadap empat anggota trafik yang ambil rasuah dari seorang pengusaha lori baru-baru ini.

“Mungkin di kontinjen lain atau di Bukit Aman, kes sebegini akan diserahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk siasatan dalaman, tetapi tidak pada saya.

“Saya akan buka kertas siasatan (IP) di bawah pemerasan agar mereka boleh dituduh di mahkamah, saya mahu tindakan lebih tegas!” ujar Ayob.

Mengulas lanjut, kata Ayob, beliau juga meminta pegawai JIPS tidak menunggu aduan sebaliknya mereka perlu terus menyiasat mana-mana pegawai dan anggota polis yang diragui kemampuan mereka khususnya dalam hal pemilikan harta.

“Ada pegawai bagi tahu saya supaya jangan cari salah orang, saya bagi tahu mereka ini bukan isu nak cari salah orang, ini untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam rasuah.

“Kalau ada orang awam mengadu pada saya seorang seorang Inspektor yang baru kerja satu tahun dah boleh memakai kereta mewah seperti Toyota Vellfire contohnya, mana saya nak letak muka saya?” ujar Ayob.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor. foto AFIQ RAZALI, 09 JULAI 2020

Dalam pada itu, Ayob juga mahu istilah ‘tersinggung, malu dan imej pasukan tercemar’ dibuang setiap kali ada kes pegawai dan anggota polis atau mana-mana petugas agensi penguatkasa diberkas kerana terlibat dalam penyelewengan.

Menurutnya, tidak timbul isu mana-mana jabatan ‘merasa malu’ jika ada berita tentang petugas mereka ditangkap rasuah kerana masalah tersebut adalah hakikat yang perlu diakui kewujudannya.

“Kalau kita tutup isu ini, ia tidak akan habis…itulah yang berlaku sebelum ini.

“Contohnya bila ada polis yang ditangkap, saya tak rasa malu, malah Ketua Polis Negara pun saya rasa tak rasa malu.

“Dalam kes penyeludupan, rakyat tahu, orang kampung tahu, malah ada yang siap hantar video pada saya ada anggota kita mengawal pergerakan rokok seludup dengan kereta peronda.

“Dalam erti kata lain, kalau kita masih lagi nak lindung perbuatan anggota kita dengan alasan nak tutup malu, sampai kiamat pun isu rasuah dan penyelewengan tak akan habis,” katanya.

Menurut Ayob, akuilah rasuah adalah isu utama dalam agensi penguatkuasaan dan rakyat tahu tentang itu.

Malah menurut Ayob, perkara pertama yang beliau minta kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bila datang ke Johor adalah ruang untuk mengambil tindakan pada semua pegawai dan anggota polis negeri itu yang melanggar integriti pasukan.

Ujarnya, ini terutama mereka yang berada di peringkat pegawai ‘atasan’. – MalaysiaGazette

https://www.youtube.com/watch?v=MBSlObccqOo