Struktur sesi persekolahan negara yang baru sahaja dibuka boleh ditambah baik lagi selepas ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui untuk dilaksanakan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi pembentangan pihak KPM mengenai garis panduan pengurusan pentaksiran.

“Guru perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala.

“Guru juga perlu memberi penekanan kepada aspek
penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi pengendalian peperiksaan awam pula, ia perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.

Bagaimanapun ujarnya, jika terdapat calon yang bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan selanjutnya serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.

Tambah beliau, ketua pengawas peperiksaan juga perlu memastikan semua urusan pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat peperiksaan dengan mengambil kira penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan. – MalaysiaGazette