Gambar hiasan.

NIBONG TEBAL – Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung di Jalan Tasek Valdor, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Lee Chong Chern berkata, dalam kejadian pada 7.45 malam itu, M. Kuganraaj,18, seorang pekerja swasta dari Kulim, Kedah dan V. Yogananth, 51, dari Nibong Tebal, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi Kuganraaj dari arah Sungai Bakap menuju ke Tasek Junjong telah memotong sebuah kereta Proton Iswara, namun bertembung dengan motosikal ditunggangi Yogananth,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, motosikal kedua-dua mangsa telah terbabas dan memasuki ke laluan bertentangan.

Pemandu lelaki kereta Proton Iswara, yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama